KANGAR: Pemuda Perikatan Nasional (PN) negeri menjadikan platform media sosial sebagai ‘senjata’ utama bagi menarik sokongan pengundi khususnya golongan muda menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pendekatan tersebut berbeza berbanding sebelum ini di mana parti-parti politik khususnya Pas lebih tertumpu kepada ceramah bagi menyampaikan maklumat.
Ketua Pemuda PN negeri, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, golongan muda kebanyakannya memilih media sosial sebagai medium komunikasi mereka.
Katanya, PN Perlis juga akan membuat hebahan menerusi media sosial tentang kejayaan gabungan tersebut sepanjang menerajui pemerintahan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
“Kita akan menggunakan semua medium aplikasi media sosial sedia ada antaranya seperti TikTok, Instagram, Facebook dan Twitter dengan menyeluruh untuk dimanfaatkan dalam PRU15.
“PN juga nak jadikan media sosial ini sebagai pusat sehenti terutama buat pengundi baharu di mana mereka memerlukan maklumat antaranya seperti tentang bagaimana untuk mengundi, parti mana untuk dipilih dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Gegar Anak Muda Perlis di sini hari ini.
Dalam pada itu, Asrul Aimran berkata, program ceramah PN pada kempen kali ini juga lebih kepada skala kecil dengan hanya beberapa penganjuran ceramah mega sahaja dilaksanakan.
“PN akan lebih banyak kepada ceramah kelompok dan himpunan ceramah mega juga mungkin akan ada dua atau tiga kali sahaja dianjurkan kali ini,” katanya. – UTUSAN