PETALING JAYA: Penyanyi, Tomok tidak mahu terlalu memberi fokus kepada kerjaya dan persaingan Gegar Vaganza (GV) musim kesembilan sehingga mengabaikan perhatian serta keperluan keluarga.
Mengakui beraksi di pentas GV bukan tugas mudah, bapa kepada tiga anak ini cuba membahagikan masa sebaiknya agar mampu memberikan persembahan terbaik dan kekal menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
“Ramai tidak tahu, untuk persembahan tiga minit, latihan dan persediaan mengambil masa seminggu. Saya akan pastikan ada masa untuk fokus persediaan, selain memberikan perhatian kepada isteri dan anak-anak dengan membawa mereka berjalan-jalan.
“Pada masa sama, perniagaan tetap perlu dipantau dan dijaga. Sebenarnya GV menuntut komitmen yang sangat tinggi. Syukur isteri sangat memahami, malah dia banyak membantu saya menguruskan anak-anak.
“Saya tidak mahu kerana terlalu fokus kepada GV, saya hilang tumpuan terhadap keluarga. Semua penting dan saling melengkapi. GV bukan tugas mudah, tetapi itu cabaran untuk kami,”katanya.
Ahad lalu, Tomok merampas kedudukan selesa Jaclyn Victor apabila meraih tempat pertama pada persaingan minggu keenam menerusi lagu Everybody nyanyian asal kumpulan Backstreet Boys (BSB).
Meraih markah tertinggi pernah diberikan juri tetap, Datuk Ramli MS dalam kategori persembahan, penyanyi Bidadari ini cuba membawa kelainan setiap minggu menerusi lagu yang dipilih.
“Semestinya saya perlu buat sesuatu yang berbeza, pada masa sama kena berhati-hati. Contohnya persembahan Hukum Karma yang kurang menjadi, tetapi ia memberi pengalaman dan pengajaran.
“Saya tidak simpan taring untuk minggu akhir kerana saya anggap setiap minggu adalah malam finale. Apa yang ada, saya bagi semua. Semua peserta hebat-hebat, jadi itu juga memberikan persaingan sihat untuk saya,” katanya.