PETALING JAYA: Dewan Pemuda Pas menyarankan penyandang Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk berehat daripada politik sehingga kes mahkamahnya selesai.
Setiausahanya, Hanif Jamaluddin berkata, ini kerana pihaknya berpandangan kes mahkamah dilalui Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) adalah suatu perkembangan yang menjejaskan lagi kepercayaan anak muda terhadap ahli politik.
Bagaimanapun, katanya, Dewan Pemuda Pas tetap berpegang dengan prinsip seseorang individu tersebut tidak bersalah sehinggalah dibuktikan oleh pihak berautoriti.
Sehubungan itu, katanya, Dewan Pemuda Pas meletakkan kepercayaan yang tinggi atas ketelusan dan proses kehakiman di negara ini.
“(Namun), Kita tidak mahu kepercayaan anak muda terhadap politik negara semakin diragut hanya kerana Syed Saddiq mahu dilihat ‘kuat’.
“Syed Saddiq sebagai figura anak muda sepatutnya berjiwa besar sebagaimana Presiden UMNO pada 2018 dahulu yang berehat daripada memimpin UMNO kerana telah terpalit dengan kes mahkamah. Jika UMNO boleh buat kenapa Yang Berhormat Muda terpaling bersih seperti Syed Saddiq tidak boleh berbuat sedemikian juga?.
“Siakap senohong, gelama ikan duri; manifesto bohong, sekarang hendak mencuri?. Cukuplah Syed Saddiq, berehatlah sebentar dan pulihkan imej anda. Tiba masanya anda berlaku adil dengan kata-kata anda selama ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jumaat lalu, media melaporkan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Syed Saddiq membela diri berhubung empat pertuduhan berkaitan RM1.12 juta dana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas Ketua Armada Bersatu itu dalam empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.
Habis.