MELAKA: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali bersedia menggalas tugas sebagai calon Barisan Nasional (BN) di salah satu kerusi Parlimen di negeri ini, jika pucuk pimpinan parti memintanya bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu berkata, sebagai ahli UMNO beliau bersedia menerima apa sahaja keputusan yang akan dibuat oleh parti.
Mengulas berkenaan spekulasi yang hangat diperkatakan sejak sebelum pembubaran Parlimen Ke-14 bahawa dirinya bakal dicalonkan bertanding di Masjid Tanah, Sulaiman menegaskan, beliau bersedia berentap di mana-mana enam kerusi Parlimen di Melaka.
“Saya ini orang dalam politik, kalau dipanggil datang disuruh pergi, itu sahajalah.
“Sebagai orang politik, saya kasih dan cintakan kepada parti khususnya UMNO. Kalau itu disarankan oleh pucuk pimpinan parti, dipanggil saya datang disuruh saya pergi.
“Tidak kira mana-mana kerusilah, kerusi empuk ke kerusi tidak empuk. Mana-mana dipanggil saya akan datang,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pentauliahan Peguam Syarie Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini hari ini.
Dalam pada itu, ditanya kemungkinan berlaku perubahan pentadbiran kerajaan negeri selepas beliau bergelar ahli Parlimen, Sulaiman bagaimanapun tidak memberi jawapan yang jelas.
“Tidak semestinya bertukar (Ketua Menteri) dan tidak semestinya berada di situ,” jawabnnya ringkas.
Sejak BN memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka November lalu, keadaan politik negeri dianggap ‘tenang dalam gelora’ berikutan wujud beberapa kali spekulasi mendakwa bahawa Ketua Menteri baharu akan dilantik menggantikan Sulaiman.
Pada Mei lalu, Sulaiman meminta semua pihak untuk tidak lagi membuat sebarang kenyataan mengenai kedudukannya kerana beliau masih merupakan Ketua Menteri yang sah. –UTUSAN