KUALA TERENGGANU: Pas Terengganu menegaskan pemasangan bendera lebih awal sebelum hari penamaan calon adalah satu tradisi di Terengganu untuk membangkitkan semangat penyokong parti itu.
Malah Pengarah Pilihan Raya Negeri Pas Terengganu, Ariffin Deraman menyifatkan suhu kempen kali ini masih agak ‘sejuk’ berbanding beberapa siri Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini.
Menurutnya, secara tradisi dalam PRU terdahulu, pemasangan bendera akan dilakukan penyokong parti itu sebaik sahaja Parlimen dibubarkan.
“Namun kali ini, suhunya masih sejuk kerana ia lambat dipasang, tidak seperti sebelum ini. Kita akui pemasangan bendera sebelum tibanya hari penamaan calon adalah satu kesalahan mengikut peraturan-peraturan dalam pilihan raya.
“Oleh itu, kita akur dan sedia bekerjasama sekiranya ada arahan dari mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT) agar mencabutnya semula,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Baru-baru ini, orang ramai menggesa PBT mengambil tindakan terhadap mana-mana parti politik yang memasang bendera tidak mematuhi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan.
Ia susulan tindakan sebuah parti politik yang memasang bendera di pembahagi jalan dengan mengorek sedikit tanah dan menampalnya semula dengan simen di sebuah lokasi di Gong Badak, Kuala Nerus yang dikecam orang ramai kerana ia adalah perbuatan vandalisme.
Ariffin berkata, Pas Terengganu sebagai parti pemerintah di negeri ini tidak akan bertindak sewenang-wenangnya untuk melanggar peraturan bahan kempen termasuk bendera yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Kita akan sentiasa bekerjasama dalam mematuhi semua peraturan SPR sepanjang PRU15 berlangsung agar ia berjalan lancar nanti,” katanya. – UTUSAN