ARAU: UMNO atau Barisan Nasional (BN) Bahagian Arau menerima siapa sahaja calon dari parti lawan untuk ditentang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) termasuk aktivis muda PKR, Fathin Amelina Fazlie, 28, yang diketengahkan di kawasan berkenaan.
Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, berkemungkinan calon tersebut akan lebih dikenali sedikit apabila melawan di Parlimen Arau.
Katanya, walaupun Malaysia sebuah negara demokrasi yang memberi peluang kepada anak muda untuk bertanding, namun, setidak-tidaknya perlu memberi sumbangan terlebih dahulu kepada penduduk di kawasan ini.
“Siapa-siapa pun nak jadi calon tiada masalah, mungkin dia ingat kalau lawan di Arau namanya akan dikenali sikit sebab akan lawan dengan orang hebat di sini.
“Penduduk di kawasan ini hanya mahukan pemimpin yang dapat membawa pembelaan dan bukannya setakat calon mewakili parti.
“Rakyat mahukan pemimpin yang memberi pembelaan, mana mungkin orang yang tak dikenali boleh bela mereka. ‘She is nothing’ sebab tak bagi apa-apa sumbangan (buat penduduk Arau),” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Gerak Kerja Jentera Jalinan Rakyat (JR) PRU15 di Dewan Sivik di sini hari ini.
Malam tadi, PKR mengumumkan Fathin Amelina yang merupakan seorang aktivis hak kewarganegaraan Sabah sebagai calon di Parlimen Arau pada PRU15.
Sekiranya Shahidan bakal tercalon sekali lagi kerusi itu, Fathin bakal berdepan laluan cukup getir memandangkan Shahidan cukup berpengaruh di kawasan Parlimen Arau sejak puluhan tahun lalu.
Dalam pada itu, Shahidan berkata, jentera UMNO Bahagian digerakkan sejak awal bagi mendekati pengundi-pengundi muda di kawasan berkenaan.
“Jumlah pengundi baru di Arau juga adalah sekitar 1,400 orang dan kami sebolehnya cuba untuk mendekati mereka, sebab golongan ini mahu lihat sendiri siapakah pemimpin di sini,” katanya.
Tambahnya, UMNO mempunyai peluang cerah untuk mempertahankan kemenangan di Arau namun pemilihan calon bertanding seharusnya tepat.
Kawasan Parlimen Arau mula dipertandingkan sejak 1974 dan Shahidan telah menjadi penyandang di kerusi tersebut pada PRU7, PRU8, PRU13 dan PRU14. –UTUSAN