Sesalan gadis berkhalwat dengan suami orang - Utusan Malaysia

Sesalan gadis berkhalwat dengan suami orang

ROKIAH (tengah) menceritakan kisah hidupnya kepada pegawai MAIS pada Hari Kecemerlangan Pelatih dibPusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Sabak Bernam, Selangor, hari ini. -UTUSAN/ ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Peristiwa hitam ditangkap berkhalwat dengan suami orang menjadi titik penyesalan tidak berpenghujung kepada seorang gadis sejak lebih setahun lalu.

Rokiah (bukan nama sebenar), 23, berkata dia dan lelaki berusia 46 tahun itu berkenalan ketika menjadi sukarelawan di sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Lembah Klang sekitar pertengahan tahun lalu. 

Menurut anak tunggal itu, perkenalan mereka selama lima bulan dipenuhi pelbagai janji manis sehingga hubungan terlarang berkenaan dihidu isteri lelaki tersebut. 

“Selepas terbongkar akibat ditangkap berkhalwat, lelaki itu baru memberitahu bahawa dia mempunyai masalah dengan isterinya. 

“Pada waktu itu, saya sedang menuntut di sebuah universiti swasta dan turut tidak diketahui ahli keluarga sehingga didakwa di mahkamah,” katanya.

Rokiah antara 20 pelatih Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan di sini yang diraikan pada majlis Hari Kecemerlangan Pelatih Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), hari ini. 

Yang turut hadir ialah Timbalan Setiausaha (Operasi) MAIS, Nurhani Salwa Jamaluddin dan Penguasa Baitul Ehsan, Nazatushima Osman. 

Kata Rokiah, dia pada mulanya memberontak kerana enggan dimasukkan oleh ibu bapanya ke pusat perlindungan itu. 

“Namun, kini mengubah kehidupan saya sepenuhnya terutama berkaitan agama dan menunaikan solat lima waktu.

“Biarpun kehilangan kawan akibat kes khalwat itu, ia tidak mematahkan semangat untuk meneruskan kehidupan,” katanya yang bercita-cita menjadi askar.

Tambahnya, dia kini amat menginsafi perbuatannya dan bersyukur kerana berjaya menamatkan pengajian sebelum memasuki Baitul Ehsan.

“Saya menyesal kerana salah dalam  pergaulan dan memilih kawan. 

“Kini, saya hanya mahu memperbanyakkan amal soleh dan terus mencari keredhaan Allah,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya