PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan memandang serius isu waktu rehat yang terpaksa diadakan banyak kali dan dihadapi oleh sekolah-sekolah dengan padat murid di seluruh negara.
Menteri Kanannya, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pada asalnya, isu itu tidak timbul kerana saiz kantin sekolah memang direka untuk menampung jumlah murid diunjurkan ketika pembinaan.
Bagaimanapun, apabila sesebuah sekolah itu telah beroperasi, pihak kementerian mendapati ada yang terpaksa melalui tiga sehingga lima kali waktu rehat yang berbeza dalam satu sesi persekolahan.
“Kita kasihan ada waktu rehat paling awal 8.30 pagi dan ia terlalu cepat kerana lepas habis, murid itu kena tunggu lama sebelum balik ke rumah untuk makan tengah hari pula,” tambahnya.
Terdahulu, beliau hadir melakukan tinjauan mengejut di kantin Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2) di sini dengan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Yusran Shah Mohd. Yusof.
Beliau kemudian berpeluang menyantuni sebahagian murid ketika waktu rehat di sekolah satu sesi tersebut dan menyaksikan suasana kesesakan mereka beratur bagi membeli makanan.
Kebanyakan kes sedemikian, katanya, berlaku di bandar-bandar besar dan melibatkan sekolah yang menjadi tumpuan ramai ibu bapa kerana prasarana lengkap dan prestasi akademiknya.
Mengulas lanjut, Radzi berkata, jika setakat dua kali waktu rehat masih lagi dianggap sebagai normal bagi tujuan pengasingan bilangan murid mengikut kelas dan kohort tahun kemasukan.
“Namun, apabila ada sampai lima kali waktu rehat, itu agak pelik dan kita memang ada terima banyak rungutan ibu bapa yang mengadu mengenai rehat seawal pukul 8.30 pagi,” jelasnya.
Sehubungan itu, ujarnya, pihak kementerian akan cuba mendapatkan banyak maklum balas pelbagai pihak berkepentingan bagi menilai isu tersebut secara holistik untuk jangka panjang.
Sementara itu, bagi tempoh jangka pendek, penambahaan saiz keluasan kantin kemungkinan antara opsyen paling baik yang boleh dipertimbangkan untuk keselesaan murid lebih ramai.
Masalahnya, jelas beliau, penyelesaian itu tidak pun sesuai untuk sekolah dengan kawasan yang kecil dan tiada ruang tanah bagi diperluaskan bangunan kantin sedia ada agar lebih besar.
Radzi juga tidak menolak kebarangkalian murid dibolehkan makan di kelas seperti pernah dibuat ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan semasa era pandemik Covid-19.
“Kaedah sebegini bagaimanapun memerlukan pemantauan daripada guru bagi memastikan tahap kebersihan kelas dijaga dan pengawalan disiplin kendiri murid adalah baik,” tambahnya.
Justeru, beliau optimis isu kewujudan waktu rehat terlalu banyak boleh ditangani dalam masa terdekat tetapi usaha tersebut masih lagi memerlukan kerjasama semua pihak yang berkaitan. –UTUSAN