‘Saya ‘salute’ pegawai-pegawai kerajaan' -Mat Sabu -

‘Saya ‘salute’ pegawai-pegawai kerajaan’ -Mat Sabu

MOHAMAD Sabu ketika berucap pada Jelajah Mega Harapan peringkat negeri ini di tapak market lama, Kangar, Perlis malam tadi.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pegawai-pegawai kerajaan tidak sewajarnya dipersalahkan apabila berlakunya sesuatu isu memandangkan mereka hanya berkhidmat mengikut arahan pemerintah.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, beliau amat menghormati pegawai-pegawai kerajaan memandangkan mereka melaksanakan sesuatu tugasan yang diberikan bersungguh-sungguh.

Mengimbau kembali sewaktu bertugas sebagai Menteri Pertahanan sebelum ini, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, beliau banyak mendapat tunjuk ajar dan berbincang sesuatu perkara tidak difahami dengan pegawai kerajaan yang memberi penjelasan sewajarnya.

“Saya ‘salute’ dengan pegawai-pegawai kerajaan kerana mereka menjalankan tugas bersungguh-sungguh.

“Kita tengok orang salahkan pegawai kerajaan (tapi) saya tak setuju kerana mereka bekerja mengikut rentak pemerintah,” katanya ketika berucap pada Jelajah Mega Harapan peringkat negeri ini di tapak market lama di sini hari ini.

Antara pimpinan Pakatan Harapan (PH) lain yang turut hadir sama sewaktu jelajah itu adalah Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari; Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Steven Sim Chee Keong; Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan), Aiman Athirah Sabu; Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling dan beberapa lagi. 

Mohamad sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan selepas kerajaan PH berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Dalam ceramah tersebut, Mohamad juga memuji setiap belanjawan negara yang dibentangkan di Parlimen memandangkan ia disediakan oleh pegawai-pegawai kerajaan yang menjalankan tugas secara serius.

Katanya, pihak terlibat juga berkorban masa dan cuti bagi memastikan sesuatu tugasan itu dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

“(Contohnya) Pegawai kerajaan di kementerian saya berkhidmat sebelum ini pernah dikehendaki menyiapkan Kertas Putih Pertahanan dan ada di antaranya yang datang kerja pada hari cuti, sampai pukul 2 hingga 3 pagi tidak pulang untuk siapkan kertas itu,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya