JAKARTA: Biarpun didera sehingga mengambil keputusan membuat laporan polis mengenai kes keganasan rumah tangga, penyanyi dangdut, Lesti Kejora mengakui masih sayangkan suaminya sehingga saat ini.
Katanya, cinta mendalam sebagai pasangan suami isteri mengatasi segala-galanya kerana episod penderaan hanya ibarat ujian yang datang membadai, lapor Kompas.com.
“Aku masih sayangkan dia, bahkan dia juga menyayangi diri ini. Kami juga ada anak lelaki.
“Sebelum ini disebabkan dia masih muda, jadi emosinya mungkin begitu. Dia kata masih sayangkan aku,” kata Lesti kepada penyanyi dangdut, Bebizie.
Perkara itu dimaklumkan Bebizie ketika dia bertemu Lesti di Tanah Suci saat mengerjakan umrah.
“Kebetulan terjumpa di Madinah ketika aku berada di Masjdi Nabawi,” katanya.
Pergolakan rumah tangga penyanyi dangdut popular Indonesia itu dan Rizky Billar menemui sinar apabila mereka berdua sepakat memilih jalan damai untuk menyelesaikan masalah yang melanda, beberapa hari lalu.
Penyanyi Sekali Seumur Hidup itu dilaporkan sudah menarik balik laporan polis terhadap serangan keganasan rumah tangga yang dilakukan suaminya, malah turut memaafkan perbuatan lelaki itu.
Lesti Kejora memaklumkan, momen memaafkan itu juga dilengkapi dengan perjanjian yang dipersetujui bersama. Dia bagaimanapun, enggan mendedahkan isi perjanjian tersebut.
Awal bulan lalu, pihak polis memaklumkan Lesti didera oleh suaminya termasuk dibaling dengan bola snuker beberapa kali, sehingga terpaksa dimasukkan ke Hospital Bunda Menteng.