Satu undi satu kuasa orang Melayu - Utusan Malaysia

Satu undi satu kuasa orang Melayu

Raudhatus Syamimi Harun
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM:  Mahasiswa-mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) perlu turun mengundi pada Pilihanraya Umum Ke 15 (PRU15) kerana satu undi milik mereka bersamaan dengan satu kuasa orang Melayu.

Mereka dinasihat untuk turun mengundi dengan penuh keberanian tanpa diburu rasa bersalah jika tersilap mengundi sesuatu parti politik.

Menurut Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM, Raudhatus Syamimi Harun, inilah kesempatan terbaik untuk bakal pewaris bangsa menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi berdaftar dan inilah masa kuasa tersebut digunakan tanpa bimbang dan ragu.

“Menjadi amanah dan tanggungjawab kita untuk memilih tampuk kepimpinan yang stabil dan mampu menentukan hala tuju negara serta mampu membela nasib anak bangsa.

“Oleh itu, kita jangan sesekali mudah terpedaya dengan sebarang janji yang dibuat mahupun terikut-ikut ahli keluarga dan rakan sebaya, tetapi sebaiknya selidik terlebih dahulu latar belakang calon-calon yang bertanding sebelum kita membuat pilihan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu pihak media melaporkan berasaskan statistik, UiTM menjadi institusi pengajian tinggi yang mempunyai bilangan pengundi muda 18 dan 20 tahun paling ramai iaitu 185, 400 orang atau mewakili 15.5 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi muda 1.2 juta orang di seluruh negara.

Jumlah pelajar tersebut membabitkan di semua 35 cawangan UiTM di seluruh negara manakala kakitangannya seramai 18,347.

Raudhatus Syamimi menegaskan, kuasa memilih adalah di tangan pengundi yang layak secara setelah didaftar secara automatik.

“Manfaatkanlah sebaiknya kuasa memilih ini supaya kita dapat memilih pemimpin yang peka dan cakna dengan masalah yang dihadapi rakyat.

“Terutamanya dengan kebajikan golongan belia daripada pelbagai aspek seperti bantuan kewangan, keperluan terhadap lebih banyak kolej kediaman di universiti, peluang pekerjaan, insentif pendidikan dan lain-lain,”katanya.

Mengulas mengenai tarikh mengundi pada 19 November depan beliau berkata, pihaknya juga berharap pihak Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) dapat mempertimbangkan untuk mengumumkan cuti peristiwa sehari sebelum hari mengundi.

Beliau yang bakal mengundi di Parlimen Shah Alam dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik menambah, ini bagi membolehkan dalam kalangan ratusan ribu mahasiswa di UiTM dipermudahkan urusan mereka untuk turun mengundi di kawasan masing-masing memandangkan kesemuanya tinggal di cawangan UiTM yang jauh daripada tempat asal mereka. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya