GEORGE TOWN: Sambutan Deepavali pada 24 Oktober ini tidak akan terganggu dan tetap disambut dengan penuh kemeriahan meskipun di sebalik kehangatan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Malah, Ketua Pemuda MIC Pulau Pinang, M. Sethubathi berkata, sambutan persiapan perayaan Deepavali tahun ini lebih meriah kerana masyarakat India berpeluang melaksanakan kembali hak mereka sebagai pengundi tidak lama lagi.
“Pembangkang sebelum ini mendakwa sambutan Deepavali akan ‘pudar’ kemeriahannya kerana terpaksa berkongsi dengan tarikh pilihan raya.
”Namun, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh-tarikh penting PRU15 pada November, jadi, sambutan Deepavali tidak akan bertembung dengan pilihan raya umum itu seperti dakwaan pembangkang,” katanya di sini hari ini.
SPR menetapkan 19 November depan sebagai hari pengundian bagi PRU15 manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 5 dan 15 November ini.
Menurut Sethubathi, persiapan sambutan perayaan Deepavali juga dibuat dengan lebih awal oleh masyarakat India.
”Saya sendiri siapkan kelengkapan untuk sambutan Deepavali bagi keluarga lebih awal.
”Jadi, tidak timbul masalah apabila Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober lalu bagi memberi laluan kepada PRU15 dijalankan, sambutan Deepavali tahun ini tetap meriah,” katanya.
Dalam pada itu, tambah beliau, walaupun MIC tidak bertanding di mana-mana kerusi Parlimen di Pulau Pinang, parti berkenaan akan turut turun padang membantu kempen Barisan Nasional (BN).
”Walaupun semakin hampir dengan perayaan Deepavali, Pemuda MIC tetap turun memberi sokongan dengan mengadakan program-program rakyat bersama BN Pulau Pinang.
”Sokongan masyarakat India terhadap BN juga semakin kuat, jadi kami akan gunakan peluang ini untuk menarik semula sokongan rakyat kepada calon-calon BN terutama di kerusi-kerusi Parlimen yang kita yakin boleh menang,” katanya. –UTUSAN