ALOR GAJAH: Pelakon veteran, Roslan Saleh, 65, tidak lagi dapat melihat dan berjalan berikutan kesihatannya kian merosot akibat penyakit kencing manis kronik yang dihidapi.
Isteri Roslan, Zainun Majid, 53, berkata, suaminya yang mesra dipanggil Pak Lan oleh kenalannya mula kehilangan penglihatan kedua-dua belah mata sejak Mei lalu, disebabkan glaukoma.
Beliau berkata, kesihatan Roslan merosot mendadak sehingga tidak mampu berjalan selepas kaki kirinya melecur semasa membuat rawatan alternatif.
“Pak Lan makin teruk masa Hari Raya Aidilfitri apabila kaki kirinya melecur selepas buat rawatan alternatif. Doktor terpaksa mengambil kulit paha untuk tampal di tempat cedera.
“Selepas itu Pak Lan susah hendak berjalan, pergi ke tandas kena berpimpin tapi doktor tak galakkan dia berjalan, jadi kena pakai lampin,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Jalan Rantau Panjang di sini hari ini.
Roslan pernah membintangi banyak drama dan filem popular antaranya Sembilu 2, Gerak Khas The Movie 2, Munafik 2, Anak Perjanjian Syaitan dan Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda.
Dalam pada itu, Roslan berkata, dia mengakui sangat rindu terhadap dunia lakonan yang menjadi kerjayanya sejak lebih 30 tahun.
Jelasnya, meskipun tahap kesihatan tidak begitu baik, namun, masih ada rakan-rakan yang sudi menawarkan watak kepadanya.
“Kerjaya kita kan, berlakon ini sudah berpuluh-puluh tahun, memanglah kita rindu tapi sudah macam ini (keadaan kesihatan), hendak buat macam mana.
“Kawan-kawan (pelakon) kita sudah anggap macam keluarga. Alhamdulillah, ramai kawan-kawan yang datang, yang tanya khabar. Insya-Allah,” katanya. –UTUSAN