BESUT: Kerajaan negeri didesak membatalkan segera projek pembinaan sebuah resort mewah oleh syarikat perhotelan antarabangsa di Pulau Perhentian dekat sini.
Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Nawi Mohamad berkata, pembinaan resort mewah berharga kira-kira RM500 juta itu dipercayai dibangunkan di atas tanah milik kerajaan negeri seluas 42 hektar.
Menurut beliau, projek tersebut didakwa bakal dibangunkan oleh sebuah syarikat milik seorang ahli perniagaan terkenal.
Katanya, pihaknya membuat desakan tersebut selepas penduduk tempatan membantah projek berkenaan kerana dibimbangi syarikat-syarikat besar lain juga akan menguasai sektor pelancongan di pulau itu selepas ini.
“Penduduk di pulau itu bimbang kehilangan mata pencarian apabila perkhidmatan dan perniagaan diusahakan sebelum ini seperti menyediakan kemudahan penginapan, bot dan teksi air akan terjejas kerana turut ditawarkan syarikat-syarikat besar.
“Mereka tidak mahu nasib yang menimpa penduduk di Pulau Redang yang terpaksa bertukar bidang setelah dikuasai syarikat-syarikat besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Ceramah Perdana Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut ‘BN Juga Kesudahannya’ di Kampung Gong Manok, Kuala Besut di sini, malam tadi.
Turut hadir, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Muhammad Pehimi Yusof dan Ahli DUN Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman.
Pada majlis itu, seramai 11 bekas ahli dan penyokong Pas mengisytiharkan keluar daripada parti itu dan menyertai UMNO.
Nawi yang juga Ahli DUN Hulu Besut berkata, tapak projek pembinaan resort tersebut dipercayai telah menjadi kawasan larangan termasuk dalam kalangan penduduk tempatan di pulau itu.
“Kawasan pantai berkenaan sebelum ini merupakan antara lokasi tumpouan pelancong dan penduduk beriadah,” ujarnya.
Beliau menambah, beliau difahamkan perjanjian pajakan antara pihak kerajaan negeri dan syarikat perhotelan terlibat diadakan pada tahun lalu.
“Penduduk di Parlimen Besut bersama penduduk tempatan akan membuat bantahan secara besar-besar selepas ini sekiranya kerajaan negeri tidak mengambil tindakan membatalkan projek pembinaan resort tersebut,” katanya.- UTUSAN