PETALING JAYA: Seorang remaja ditemukan mati lemas akibat dihanyut arus deras ketika menyeberangi Sungai Gong, Rawang di sini Selasa lalu.
Difahamkan, ketika kejadian, Muhammad Alif Fahmi Abdullah, 16 , itu hanyut bersama ayah tiri dan adik tirinya selepas aktiviti memancing namun bapa dan tirinya dapat diselamatkan oleh pemancing lain.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.07 malam dan sebuah jentera Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawanv dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurut beliau, pihak penyelamat menggunakan kaedah pencarian dasar air bagi mencari kedudukan mangsa.
“Selepas hampir dua hari, mayat remaja itu ditemukan di kawasan perangkap sampah di Bestari Jaya iaitu kira-kira 10 kilometer dari lokasi kejadian pada pukul 2.05 petang.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan,” katanya.- UTUSAN