PORT DICKSON: Aktivis sosial, Abdul Rani Kulup Abdullah bakal bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Pesara tentera berusia 67 tahun itu memaklumkan, dia akan bertanding atas tiket Parti Barisan Penyatuan Nasional (BPN).
Beliau yang juga merupakan Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) membuat keputusan menyertai politik selepas 22 tahun berjuang membawa suara rakyat melalui platform pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Saya hendak bertanding demi rakyat di Port Dickson supaya mereka dapat mengundi untuk bawa saya ke Parlimen sekali gus mendapatkan kuasa demi membantu rakyat di sini.
“Sekiranya saya menang dan mempunyai kuasa nanti saya boleh menyelesaikan masalah.
“Saya pilih Port Dickson kerana tiada kawasan lain untuk bertanding, jikalau boleh 222 kerusi Parlimen saya hendak bertanding. Saya ikhlas untuk membantu kerana memikirkan rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Abdul Rani yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak dan menetap di Gombak, Selangor itu menambah, keputusannya itu juga adalah kerana hasratnya untuk menyelesaikan isu veteran tentera.
“Sejak 1973 hingga 1995 saya telah berkhidmat dalam tentera, selama 22 tahun perkhidmatan dan dengan jawatan terakhir sebagai Rejimental Sarjan Mejar di Kementerian Pertahanan.
“Saya juga berhasrat bertanding di sini untuk membantu veteran kerana saya difahamkan terdapat 80 hingga 90 peratus veteran tentera berada di Port Dickson ini,” katanya.
Ketika diminta mengulas kerusi Parlimen Port Dickson ini yang dijangka akan menampilkan calon termasuk Menteri Besar, Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang mewakili Pakatan Harapan (PH), beliau berkata, tujuannya hanya untuk menyelesaikan masalah rakyat.
“Saya tidak mahu berniat untuk berlawan dengan mana-mana calon atau parti tapi tujuan saya bertanding hanya untuk menyelesaikan masalah rakyat,” katanya yang memberitahu dilantik sebagai Ketua Bahagian BPN Port Dickson, semalam.
Pada tahun lalu, Abdul Rani dilaporkan menyertai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan berhasrat untuk bertanding di Parlimen Bandar Tun Razak. –UTUSAN