Ramai PATI wanita dilacurkan, imigresen terus gempur - Utusan Malaysia

Ramai PATI wanita dilacurkan, imigresen terus gempur

KHAIRUL Dzaimee Daud semasa sidang media di Kota Bharu, Kelantan hari ini.UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARULZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jabatan Imigresen Malaysia mendedahkan kebanyakan pendatang asing tanpa izin (PATI) wanita yang diseludup ke negara ini akan dilacurkan oleh sindiket-sindiket yang membawa mereka masuk.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, sindiket akan memilih  hotel-hotel bajet sekitar bandar-bandar besar dalam negara ini untuk `menjual’ PATI-PATI wanita berkenaan.

“Sindiket bawa PATI ini mempunyai rangkaian  tertentu ikut peranan masing-masing,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Kita Demi Negara di Dataran Lembah Sirih, di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin

Menurut beliau, dari negara jiran, PATI itu diuruskan sindiket di sana dan sebaik berjaya menceroboh ke negara ini, PATI akan diuruskan sindiket negara ini yang biasanya membabitkan warga tempatan.

Katanya, selepas itu terdapat sindiket lain pula akan mengaturkan PATI yang diseludup masuk untuk bekerja secara tidak sah di sektor-sektor tertentu.

“Jabatan Imigresen akan meneruskan dan mempertingkatkan usaha-usaha perisikan dan operasi ke atas sindiket-sindiket seperti ini.

“Bagi Jabatan Imigresen, tidak ada satu hari pun yang kami akan berdiam diri dan setiap hari pasti akan ada operasi dijalankan. Sebab itu jumlah PATI yang ditahan dalam Depot Imigresen tidak pernah kurang 10,000 orang,” ujarnya.

PVIP

Sementara itu, Hamzah pada sidang akhbarnya berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerima  sebanyak 10,300 permohonan fasa pertama Program Visa Premium (PVIP) Malaysia  sejak 1 Oktober lalu.

Menurut beliau, kesemua permohonan itu kini dalam proses semakan dan penilaian kerana KDN perlu mendapatkan maklumat mengenai latar belakang pemohon terlebih dahulu.

Menurutnya, KDN menyediakan sebanyak 20,000 kuota PVIP bagi fasa pertama dan sebanyak RM4 juta deposit telah diterima membabitkan 2,000 permohonan.

“Kita telah mengeluarkan surat kepada syarikat-syarikat yang memohon visa premium ini. Proses semakan akan mengambil masa bagi memastikan mereka benar-benar layak termasuk sama ada dapat memberi keuntungan kepada negara atau sebaliknya.

“Kita juga bekerjasama dengan pihak Polis Antarabangsa (Interpol) bagi memastikan pemohon ada melakukan jenayah di negara sendiri atau tidak,” kata beliau. UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN