PETALING JAYA: Kemunculan artis baharu berbakat besar, Fuzzy, dipuji kerana berjaya menghasilkan debut berjudul Lepaskan yang mempunyai tarikan tersendiri.
Ketua Eksekutif KRU Entertainment, Datuk Norman Abdul Halim berkata, susunan lagu yang diinspirasikan daripada muzik disko era 1980-an itu memperlihatkan kreativiti penyanyi tersebut, malah tidak terikut-ikut dengan stail muzik KRU.
“Sekalipun ada persamaan dengan KRU adalah pada cara nyanyiannya yang menggabungkan R&B dan rap. Muzik 1980-an dan 1990-an memang popular, malah penyanyi antarabangsa seperti Bruno Mars, The Weeknd, Justin Bieber pun mengetengahkan stail sama.
“Bagus apabila Fuzzy mencipta lagu sendiri untuk mendapatkan kelainan kerana ramai Budak Baru Nak Up (BBNU) tidak boleh membezakan identiti muzik masing-masing.
“Terima kasih kerana ada generasi baharu yang masih menghargai KRU dan menjadikan kami sebagai inspirasi,” kata Norman.
Single Lepaskan adalah hasil ciptaan sepenuhnya Fuzzy atau nama penuhnya, Nik Ahmad Fazrul Fitri bin Lokman, manakala gubahan muzik oleh Wan Saleh dan Rasyid Amir sebagai pengarah muzik video.
Lepaskan boleh ditonton dalam saluran YouTube New Age Music Malaysia dan distrim di semua platform penstriman digital muzik.