BERA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan ahli dan pimpinan Barisan Nasional (BN) supaya mengelakkan unsur sabotaj dan budaya budaya ‘cah keting’ jika tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini.
Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, disebabkan tindakan sedemikian, BN menjadi pembangkang selepas PRU14 lalu.
Selain itu, katanya, isu undi silang yang turut dilaporkan berlaku sebelum ini juga perlu dielakkan pada PRU15 kali ini kerana ia merugikan parti.
“Kita kata setia kepada parti, kalau saya bertanding saya bukan tanding atas nama saya, saya bertanding atas parti, saya mewakili UMNO dan waktu pilihan raya umum saya atas tiket BN bukan kerana tanding atas diri saya tetapi membawa bendera parti.
“Kalau calon BN kalah, kita kalah, kita jadi pembangkang pada 2018 itulah akibatnya, saya tahu banyak tempat berlaku sabotaj, cah keting dan sebagainya akhirnya siapa yang untung bila kita kalah, kita hanya seronok dua tiga hari tengok kawan kita kalah,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bera di Dewan Konvensyen di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata, semua ahli parti perlu terus setia, bersepakat dan bekerja kuat untuk memberikan kemenangan kepada parti dalam PRU15 yang semakin dekat.
Beliau berkata, jika semua ahli meletakkan kepentingan parti di hadapan bagi menegakkan Melayu dan agama Islam sebagai keutamaan, siapa pun yang bertanding akan mendapat sokongan dan menang.
“Untuk diri sendiri berangan sikit tidak ada masalah tetapi jangan kita tidak dapat bertanding kita sabotaj kawan kita, bergerak ke hulu ke hilir untuk pastikan calon kita kalah,” katanya. –UTUSAN