KUALA SELANGOR: Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad mengesahkan mahu terus mempertahankan Parlimen Kuala Selangor dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) atas dasar ketaatan kepada parti.
Bekas Menteri Kesihatan itu berkata, keputusan berkenaan sudah dimaklumkan kepada pucuk pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah).
Jelas beliau, dirinya berpegang teguh kepada prinsip mentaati pimpinan biarpun pernah berhasrat memberi laluan kepada calon lebih muda.
“Saya menghormati kehendak parti dan rakan Pakatan Harapan (PH) yang mahu saya kekal di ‘gelanggang’ kerusi P096 ini.
“Mengambil kira faktor Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (Menteri Kewangan), saya tidak mempunyai pilihan lain kecuali akur untuk kekal bertanding,” katanya ketika ditemui pada Program Serahan Bantuan Deepavali di Sungai Buloh di sini, hari ini.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan Amanah mahu Dzulkefly mempertahankan Parlimen Kuala Selangor setelah melihat Tengku Zafrul mengintai peluang bertanding kerusi itu.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub menyifatkan kawasan itu dianggap sangat kritikal dan serius serta penting untuk dimenangi PH.
Kata Dzulkefly yang juga Pengarah Strategi Amanah, jentera pihaknya bersiap sedia menghadapi kemungkinan pertembungan lebih daripada tiga penjuru kali ini.
“Semua parti mempunyai pengundi asas sendiri yang bukan saja mengambil kira soal calon malah kerajaan yang bakal dibentuk.
“Biarpun mungkin pertembungan empat penjuru, saya bersama jentera sudah siap digerakkan selepas hari penamaan calon bulan depan,” ujarnya.
Tambah beliau, setiap calon termasuk Tengku Zafrul diakui mempunyai kekuatan dan kelebihan masing-masing.
“Namun, saya sudah menabur khidmat terbaik kepada rakyat sepanjang lebih empat tahun diberi mandat sebagai Ahli Parlimen.
“Setiap calon atau individu itu mempunyai ‘weight’ mereka dan biar rakyat yang menentukan siapa mahu dipilih mereka kelak,” katanya.
Pada PRU14, kerusi Parlimen Kuala Selangor dimenangi Dzulkefly yang menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim dari Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 8,498 undi.
Pertembungan tiga penjuru itu turut menyaksikan calon Pas yang juga Timbalan Yang Dipertua Pas Kuala Selangor, Mohd. Fakaruddin Ismail tewas. –UTUSAN