KUANTAN: Anak muda berusia 18 tahun perlu turun menunaikan tanggungjawab mengundi kerana Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini melakar sejarah apabila pertama kali menampilkan pengundi bawah usia 21 tahun.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd. Shahar Abdullah berkata, Undi18 penting kerana ia turut memberi kesan dalam pemilihan ahli parlimen yang akan membentuk kerajaan.
“Peranan setiap anak muda dalam pilihan raya penting dan jumlahnya akan dikira sebagai jumlah undi, maknanya jika anak muda tidak turun mengundi undian tersebut tidak akan dikira.
“Jadi anak muda sangat penting untuk turun mengundi dan melakar sejarah apabila pilihan raya umum (PRU) kali ini pertama kali menampilkan pengundi pada usia 18 tahun,” katanya pada Forum Bual Bicara Undi 18: Apa Orang Muda Perlu Tahu? di Universiti Malaysia Pahang (UMP) Kampus Gambang di sini.
Naib Presiden Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP), Marina Musuari berkata, keperluan pemimpin muda dalam arena politik dan pembangunan negara penting ekoran ledakan teknologi serta media sosial yang kian rancak.
“Pemimpin muda dapat menarik minat anak muda dan dapat bersama dengan pemimpin yang berpengalaman dalam meningkatkan pembangunan negara dan juga membangunkan masyarakat dari segi fizikal, insaniah dan intelektual.
“Ramai juga kurang yakin dengan kepimpinan muda untuk melakukan tugasan diberi. Sebenarnya kita tidak mampu menilai seseorang jika tidak diberi peluang. Apa menjadi kayu ukur pada pemimpin adalah keupayaan dan tanggungjawab yang dipikul itu dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.
Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman pula berkata, dahulu kelayakan mengundi berusia tidak kurang 21 tahun, namun kini kerajaan meluluskan untuk anak muda pada usia 18 tahun.
Jelasnya, pelaksanaan Undi18 membuktikan kerajaan mempercayai golongan anak muda merupakan watak penting dalam menentukan soal masa depan negara.
“Cumanya, anak muda jangan mudah terpedaya dengan momokkan, isu yang berasaskan pada agama, bangsa, tetapi fokuskan kepada isu-isu yang berasaskan kepada rangka kerja kepimpinan yang hendak memajukan negara,” katanya.
Beliau berkata, golongan muda ini diharap dapat melaksanakannya secara terbaik berasaskan platform dan dasar-dasar yang diutarakan oleh pihak kerajaan serta berasaskan kepimpinan yang mantap. –UTUSAN