Projek ternakan tilapia untuk pelajar pendidikan khas -

Projek ternakan tilapia untuk pelajar pendidikan khas

AMIRAH HURZAID (tengah) melihat perkembangan terkini projek ternakan ikan tilapia yang dijalankan bersama pelajar PPKI SMK Machang Bubok di Bukit Mertajam, Pulau Pinang baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Kemampuan pelajar Pusat Pendidikan Khas Integriti (PPKI) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Machang Bubok di sini membantu menjana pendapatan tambahan bagi koperasi sekolah melalui hasil pertanian dan penternakan boleh dianggap luar biasa.

Ini terbukti apabila laman Kemahiran Vokasional atau Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) Asas Tanaman sekolah itu yang diwujudkan sejak empat tahun lalu sentiasa dipenuhi pelbagai jenis tanaman seperti kailan, bendi dan sebagainya termasuk cendawan yang diusahakan dalam ruangan khas.

Lebih menarik, PPKI sekolah itu turut menyediakan satu sangkar khusus untuk penternakan dan sehingga kini, ratusan ekor burung puyuh selain serindit yang diternak berjaya dijual untuk membantu pihak sekolah menjana pendapatan sampingan.

Terbaharu, projek penternakan ikan tilapia dijalankan secara usaha sama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) menggunakan Geran Jaringan Industri dan Masyarakat berjumlah RM9,000 sejak lebih sebulan lalu.

Menurut Pengetua SMK Machang Bubok, Anuar Rahim, pihaknya menyambut baik kerjasama itu kerana selain membantu meningkatkan pendapatan koperasi sekolah, ilmu penternakan tersebut boleh diguna pakai untuk membantu dan mendidik pelajar PPKI supaya lebih berdikari apabila dewasa kelak.

“Sukatan pelajaran untuk pendidikan khas turut menitikberatkan pendidikan di luar dan ini adalah sebahagian daripada pembelajaran mereka di luar bilik darjah.

“Setakat ini, apa yang saya lihat kebanyakan anak-anak ini (pelajar PPKI SMK Machang Bubok) teruja untuk turut serta dalam projek ikan tilapia ini. Jadi, saya berharap program seperti ini akan berterusan,” katanya ketika ditemui di sekolah itu, baru-baru ini.

Melalui kerjasama tersebut yang turut melibatkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan dan Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) di Batu Maung itu, sebanyak 300 benih ikan tilapia telah diserahkan kepada pihak sekolah sebagai permulaan.

Dalam pada itu, pensyarah Biologi di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) USM yang juga ketua projek, Dr. Amirah Hurzaid berkata, penjagaan tilapia yang melibatkan tiga kolam khas itu diuruskan 10 pelajar PPKI sekolah itu sendiri dengan dibantu dan dikawal selia guru-guru.

“Ini tahap pertama dan sasaran kami untuk melihat sekurang-kurangnya dua daripada pelajar pendidikan khas ini mampu menjalankan penternakan ikan dari rumah sebaik sahaja tamat persekolahan.

“Pihak USM turut menjalankan pemantauan secara berkala untuk melihat perkembangan mereka supaya lebih berdaya saing pada masa depan,” ujar beliau.

Bagi seorang pelajar PPKI SMK Machang Bubok, Syahmir Amirul Fahmi Azman, 18, peluang menternak sendiri ikan tilapia dengan dibantu guru-guru adalah sebahagian daripada impiannya sejak kecil.

“Jaga tilapia tak susah. Saya boleh faham A sampai Z (arahan yang diberikan oleh guru atau penyelia projek). Macam mana nak cuci ‘filter’ (penapis kolam), bagi makan ikan, tukar air dan lain-lain,” katanya yang pernah terlibat dengan projek penternakan udang dan burung puyuh sebelum ini. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN