SEPANG: Seorang pegawai kanan di Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuat laporan polis bagi menyiasat seorang wanita yang mendakwa dilantik sebagai Pengarah Bahagian Kewangan KDN.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, siasatan awal mendapati, wanita berkenaan menyamar sebagai penjawat awam bagi tujuan menipu.
Beliau berkata, laporan itu diterima daripada pengadu yang juga Setiausaha Bahagian KDN yang memaklumkan kementerian itu tidak pernah melantik mana-mana individu untuk menjawat jawatan Pengarah Bahagian Kewangan KDN.
“Semalam, pengadu menerima satu mesej menerusi aplikasi chat kumpulan Pegawai KDN mengenai satu pautan video yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook atas nama ppseudoscience watch.
“Pengadu membuka pautan video tersebut dan melihat satu rakaman video yang memparkan seorang wanita yang menamakan dirinya Siti Nur Atiqah dengan mendakwa dirinya telah dilantik sebagai Pengarah Kewangan KDN,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, menerusi video itu, turut dipaparkan tangkap layar laman sesawang KDN yang telah diubah suai dengan menyatakan penama Datuk Seri Siti Nur Atiqah Baba sebagai Pengarah Bahagian Kewangan KDN.
Wan Kamarul Azran berkata, pengadu kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya untuk langkah seterusnya.
Katanya, pengadu kemudian membuat laporan polis menafikan dakwaan wanita berkenaan selain menasihatkan orang ramai akan tidak tertipu dengan wanita tersebut.- UTUSAN