PMKS sokong cadangan MPN atasi kekurangan pekerja

PMKS sokong cadangan MPN atasi kekurangan pekerja

Muhyiddin Yassin menyampaikan sumbangan kepada seorang peniaga kedai runcit di Pagoh, Johor, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menyokong penuh cadangan Majlis Pemulihan Negara (MPN) supaya kerajaan menangani masalah kekurangan tenaga kerja dalam sektor industri di negara ini.

Ini setelah Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan sebanyak 1,152,276 permohonan kuota pekerja asing telah diterima daripada semua sektor industri daripada Januari hingga September 2022.

Namun, daripada jumlah ini, sebanyak 467,223 (40.5 preratus) kuota telah diluluskan tetapi hanya 76,000 (6.5 peratus) pekerja asing telah dibawa masuk ke negara ini setakat 12 September 2022.

Data ini menunjukkan jumlah kemasukan pekerja asing adalah jauh lebih rendah daripada keperluan sebenar industri.

Disebabkan itu, MPN mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khas Berkenaan Kekurangan Tenaga Kerja Dalam PMKS yang diterajui oleh Kementerian Sumber Manusia.

Tugas jawatankuasa ini ialah untuk meneliti apakah permasalahan dalam pengambilan pekerja asing dan mencari jalan penyelesaiannya dengan kadar segera.

Bagi MPN, isu kekurangan tenaga kerja asing di negara ini masih meruncing dan tidak dapat diselesaikan oleh kerajaan walaupun MPN telah membangkitkan isu ini sejak Disember tahun lalu.

Justeru, MPN berpandangan langkah-langkah segera mestilah diambil oleh Kementerian Sumber Manusia untuk mempercepatkan proses kemasukan pekerja asing yang diperlukan oleh semua sektor industri bagi menyokong proses pemulihan negara.

Cadangan itu disokong oleh pengusaha PKS, Mohd. Hedzir Sarma Abdullah yang membekalkan mesin proses makanan menerusi syarikatnya Hikmat Machinery Sdn. Bhd.

Katanya, kekurangan tenaga kerja menyebabkan pendapatan syarikatnya yang berpusat di Serdang, Selangor terjejas sehingga ke hari ini.

“Malah, kita berdepan dengan kesukaran untuk mencari pekerja ketika ini sampai terpaksa memperbetulkan skop kerja.

“Kita juga perlu meminimumkan operasi kilang, kalau tiga kilang tidak boleh beroperasi, kita fokus kepada satu kilang, kualiti operasi pun bertambah baik tetapi dalam soal ini, kita sendiri perlu bijak menghadapinya,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, isu kekurangan tenaga kerja tidak seharusnya berlarutan terlalu lama kerana ia seolah-olah menunjukkan tidak banyak perubahan positif yang dikecapi sejak negara dilanda pandemik Covid-19 dua tahun lalu.

“Masa perintah kawalan pergerakan (PKP) dulu, kita langsung tak dapat beroperasi dan saya terpaksa berniaga buah-buahan hasil tanaman kebun sendiri.

“Namun sekarang, ekonomi masih bergerak dengan perlahan. Sebab itu, kerajaan perlu membuat pelaburan jangka panjang terhadap ekonomi, yang penting PMKS dapat beroperasi dengan lancar,” katanya.

Selain itu, MPN turut memberi penekanan kepada penggunaan teknologi dan automasi untuk mengurangkan penggantungan kepada pekerja asing.

Bagaimanapun, tidak semua PMKS mampu untuk memiliki alat teknologi dan automasi kerana kekurangan dana selain terpaksa mengurangkan perbelanjaan ekoran keadaan ekonomi semasa.

Namun, jentera automasi adalah sesuatu yang amat diperlukan oleh seorang lagi pengusaha PKS, Hezlee Ezha yang membekalkan pelbagai produk rempah ratus dan biskut menerusi syarikatnya, Noraini Enterprise Sdn. Bhd.

Kata beliau, syarikatnya tidak lagi meraih pendapatan tinggi seperti dahulu sejak berdepan kekurangan masalah pekerja asing

“Bila pekerja asing balik ke negara masing-masing sebelum ini, kita sukar untuk mendapatkan pekerja menyebabkan kita tidak dapat beroperasi dengan lancar.

“Sebaliknya, kita terpaksa berbelanja lebih untuk mendapatkan pekerja, malah perlu menawarkan lebih daripada gaji minimum RM1,500, jika tidak, mereka tidak mahu bekerja dengan kita,” katanya.

Oleh itu, beliau menyifatkan, automasi adalah satu-satunya cara untuk menyelesaikan masalah kekurangan tenaga kerja ketika ini.

“Kita selama ini memang banyak bergantung kepada pekerja untuk menyediakan produk secara manual, sebab itu kita tidak berani berbelanja lebih untuk ambil pekerja kerana majikan perlu tanggung kos yang tinggi.

“Jadi, lebih baik kerajaan fokus kepada automasi kerana ia lebih efektif untuk PMKS menjalankan perniagaan, serta boleh membantu menyediakan latihan untuk menggunakan alat-alat teknologi terkini,” katanya.

Cadangan MPN turut dialu-alukan oleh Pengerusi Persatuan Peng­usaha Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) Pusat, Datuk William Ng yang merayu kepada kerajaan supaya mengutamakan sektor PKS di masa-masa akan datang.

“Buatlah apa yang boleh untuk mengurangkan tekanan kos kepada PKS dan melegakan kekangan tenaga buruh supaya PKS tempatan dapat bernafas semula,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya