JASIN: Kerajaan Persekutuan menyokong usaha kerajaan negeri untuk meneruskan pelaksanaan panel solar terapung di Loji Rawatan Air Jus Fasa 2 di Empangan Jus di sini, jika usaha di Empangan Durian Tunggal, Alor Gajah berjaya dilaksanakan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan projek penggunaan tenaga solar juga selari dengan hala tuju kerajaan ke arah mencapai negara sifar karbon menjelang 2050.
Beliau berkata, inisiatif bagi projek tenaga boleh diperbaharui yang dirangka Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) juga dilihat dapat memacu perkembangan teknologi yang baik bagi Melaka.
“Saya difahamkan Kerajaan Melaka melalui SAMB meluluskan satu kajian berkaitan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.
“Ia akan mengkaji kebolehlaksanaan pemasangan panel solar terapung atas permukaan air (floating solar) dengan kapasiti 150 megawatt di Empangan Durian Tunggal bagi menjana bekalan elektrik kepada operasi SAMB.
“Kerajaan Pusat turut menyokong usaha SAMB untuk meneruskan pelaksanaan panel solar terapung di Loji Rawatan Air Jus Fasa 2 di Empangan Jus, jika usaha di Empangan Durian Tunggal tersebut berjaya dilaksanakan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Loji Rawatan Air Kompak Chin Chin di sini hari ini.
Projek pembinaan loji berkenaan memberi manfaat kepada lebih 100,000 pengguna khususnya di Jasin dan Merlimau.
Pembinaannya menelan belanja sebanyak RM40 juta dan ia adalah salah satu inisiatif SAMB untuk membantu kerajaan negeri yang sebelum ini berdepan dengan kemarau, sehingga terpaksa mencatu bekalan air pada Januari sehingga Mac 2020.
Tambah Perdana Menteri, Kerajaan Persekutuan sentiasa menyokong usaha menjalankan projek dan kajian bagi meningkatkan sumber air mentah negeri.
Jelasnya, ia termasuklah kajian kebolehlaksanaan Projek Penyaluran Air Sungai Muar Fasa 3 bagi menampung keperluan orang ramai yang kian meningkat.
“Pelaksanaan projek ini amat penting sejajar dengan perkembangan Melaka sebagai destinasi pelancongan utama negara yang menjamin penjanaan pendapatan dan perkembangan ekonomi secara berterusan,” jelasnya. –UTUSAN