PKR henti jadikan Parlimen Alor Setar ‘tong sampah’  - Utusan Malaysia

PKR henti jadikan Parlimen Alor Setar ‘tong sampah’ 

Ketua Pemuda UMNO Alor Setar, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: PKR diseru berhenti menjadikan kerusi Parlimen Alor Setar sebagai ‘tong sampah’ apabila meletakkan calon luar yang hendak ‘dibuang’ bertanding di sini.

Ketua Pemuda UMNO Alor Setar, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, tindakan tersebut hanya menyebabkan rakyat di kawasan itu menjadi mangsa apabila wakil rakyat yang dipilih susah dicari di waktu penduduk memerlukan.

Menurut beliau, penduduk di Parlimen Alor Setar sudah dua kali merasai pengalaman itu dengan PKR seperti menjadikan Alor Setar sebagai kerusi pelancongan ahli politik mereka.

“Bekas Ahli Parlimen PKR di Alor Setar pada penggal lalu, Chan Ming Kai berasal dari Perak dan pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai pada 2008 sebelum berhijrah ke ADUN Indera Kayangan di Perlis pada 2013. Beliau menggantikan Gooi Hsiao Leung yang juga berasal daeri Pulau Pinang.

“Ahli politik nomad ini hanya memangsakan pengundi. Kepada Pakatan Harapan (PH) terutamanya PKR berhentilah menjadikan Parlimen Alor Setar ini tempat letak calon yang mahu dibuang. Parlimen Alor Setar seolah-olah dinilai seperti tong sampah bagi parti itu,” katanya dalam  kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Ming Kai menerusi  kenyataan memaklumkan  beliau tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Alor Setar pada PRU15.

MUKA BAHARU

Ming Kai memaklumkan, sebelum ini beliau  merancang memberi laluan kerusi tersebut kepada muka baharu dan mahu mencuba nasib di kerusi lain yang belum dimenangi PH seperti Bagan Datuk, Pagoh, Gombak atau Ampang. 

Bagaimanapun, katanya, namanya tidak lagi dicalonkan PKR untuk mana-mana kerusi dalam PRU kali ini.

Mengulas lanjut Syed Mohd. Johan berkata, pengundi dan rakyat di kawasan itu perlu membuka mata dan membuat penilaian menyeluruh tentang siapa yang benar-benar mahu berkhidmat dan siapa pula yang hanya sekadar tangkap muat bagi memenuhi kerusi Parlimen Alor Setar.

“Saya mendapat maklumat, akan ada juga ‘pelancong’ politik baharu akan dibuang ke Alor Setar untuk PRU15. Rakyat di sini perlukan wakil dalam kalangan  orang tempatan yang mengenali sepenuhnya keadaan di sini.

“Justeru saya menyeru pengundi Alor Setar agar menolak calon  parti itu kali ini. Semasa BN menang di Parlimen Alor Setar sehingga PRU12, kawasan ini diwakili penduduk tempatan iaitu Tan Sri Chor Chee Heung yang sepenuh masa menumpukan tenaga berkhidmat, dihormati dan disegani semua lapisan masyarakat serta bangsa,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya