IPOH: Pakatan Harapan (PH) yakin mampu memperoleh majoriti mudah 112 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) untuk membentuk kerajaan.
Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sasaran tersebut boleh dicapai berdasarkan keyakinan gabungan itu menang di 100 kerusi Parlimen seluruh negara.
Malah, katanya, kajian terkini Pusat Inisiatif Dasar Invoke (Invoke) juga mendapati PH mampu menawan 100 kerusi Parlimen berkenaan.
“Berdasarkan kajian akhir Invoke, kita sudah capai 100 kerusi Parlimen. Kita cuma perlu berusaha lagi mendapatkan 12 kerusi, kita berharap (ia dapat dicapai), insya-Allah,” katanya dalam Jelajah Mega Harapan Perak di Tambun di sini semalam.
Menurut Presiden PKR itu, walaupun mengumumkan bertanding di Parlimen Tambun, beliau mengakui tidak dapat meluangkan lebih masa bersama pengundi di kawasan itu.
Katanya, ini ekoran tanggungjawabnya untuk membantu kempen PH di seluruh negara.
“Saya minta maaf, saya tidak boleh setiap malam ada di sini. Kalau setiap malam di sini, menang di Tambun, kita kalah di tempat lain.
“Esok saya diminta berada di Sabah, lusa di Sarawak diikuti Terengganu dan Kelantan. Kalau mahu menang PH, saya perlu bantu kempen,” katanya. –UTUSAN