MELAKA: Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) menyumbangkan dua buat bot dilengkapi enjin jenis Yamaha 15 kuasa kuda dan 300 buah khemah kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melalui Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka, sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut.
Pengurus Besar Petronas Wilayah Selatan, M. Zaki Mahat berkata turut disalurkan ialah 1,500 helai baju hujan, 150 jaket keselamatan, tangki bahan api dan air minuman.
Menurutnya, inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada sumbangan bantuan banjir Petronas berjumlah RM25 juta yang telah diumumkan Disember tahun lalu.
Beliau berkata, ia bertujuan membantu ribuan mangsa yang kehilangan tempat tinggal akibat banjir besar bakal melanda negara termasuk di negeri ini.
“Bantuan selama setahun ini menghampiri ke semua negeri bagi wilayah selatan semalam kita menyerahkan bantuan yang sama di Kota Tinggi, Johor dan esok pula di Negeri Sembilan.
“Bagi Terengganu, Kelantan dan Pahang pula, Petronas masih meneruskan usaha untuk memberikan sumbangan berdasarkan peruntukan RM25 juta yang disediakan.
“Semoga sumbangan ini dan penglibatan kami dapat meringankan beban agensi-agensi dalam menjalankan usaha membantu mangsa banjir, seterusnya meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Banjir Petronas di Padang Kawad APM, Ayer Keroh di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah APM negeri, Lt. Kol (PA) Kamarulsyah Muslim berkata, bantuan bencana itu dikhususkan untuk membantu mangsa banjir di Alor Gajah dan amat membantu dalam kesiapsiagaan operasi penyelamatan kelak.
Menurutnya, bantuan itu disalurkan ke Alor Gajah memandangkan daerah itu paling awal dan kerap dilanda banjir apabila berlaku taburan hujan yang lebat atau luar biasa.
“APM Melaka mengenal pasti 10 daripada 42 kawasan yang berisiko banjir di daerah tersebut.
“Kami membuat persiapan rapi daripada segi anggota dan aset sedia ada dan akan digerakkan pada bila-bila masa jika berlaku banjir,” katanya. –UTUSAN