Petronas bantu empat negeri utara hadapi Monsun Timur Laut

Petronas bantu empat negeri utara hadapi Monsun Timur Laut

ZUKIFLI Othman (tiga dari kiri bersama Zulzuraidy Othman (dua kiri) dan Awang Askandar Ampuan Yaakub (kiri) melihat barangan yang diserahkan Petronas dalam Program Bantuan Bencana Negeri Kedah di Alor Setar. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) meneruskan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu dengan menyumbang aset dan peralatan berkaitan bantuan banjir sebagai persediaan empat negeri di utara Semanjung menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

Bagi negeri Kedah, sumbangan tersebut disampaikan oleh Ketua Wilayah Utara dan Tengah Petronas, Zukifli Othman kepada pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) yang diwakili Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Zulzuraidy Othman.

Zukilfi ketika ditemui selepas majlis itu memberitahu, sumbangan aset dan peralatan bantuan banjir kepada JPBN melalui Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah diharapkan dapat meningkatkan kesiapsiagaan pihak terlibat untuk berdepan bencana banjir kelak.

LENGKAP

“Di Kedah, Petronas menyumbang dua bot lengkap bersama enjin, 500 khemah boleh lipat untuk keperluan mangsa banjir di pusat penempatan sementara (PPS) dan 250 jaket keselamatan untuk dewasa serta kanak-kanak selain 2,500 pasang baju hujan.

“Kami berharap keperluan ini dapat membantu khususnya kepada mangsa banjir. Harapan daripada pihak Petronas semoga sumbangan dapat membantu kesiapsiagaan APM sebagai Sekretariat Pengurusan Bencana untuk memberi bantuan sebaiknya,” katanya dalam majlis penyerahan di Pejabat APM Kota Setar, baru-baru ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri Pengarah APM Kedah, Leftenan Kolonel (PA), Awang Askandar Ampuan Yaacob.

Kata Zukifli, kerjasama strategik antara Petronas, kerajaan negeri serta agensi terlibat itu dilihat mampu memberi impak dan manfaat kepada penduduk negeri ini yang dijangka terjejas ketika bencana banjir itu.

Beliau menambah, selain Kedah, Petronas menerusi peruntukan RM3.2 juta bagi program berkenaan di seluruh negara turut menyumbang kepada tiga negeri di utara semenanjung iaitu Perak, Pulau Pinang dan Perlis yang masing-masing menerima dua bot lengkap bersama enjin, 300 khemah boleh lipat, 250 jaket keselamatan dan 1,500 pasang baju hujan.

SEBAHAGIAN barangan termasuk bot dan enjin yang disumbangkan oleh Petrona melalui Program Bantuan Bencana Negeri Kedah di Alor Setar. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN

“Pemberian ini adalah untuk seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak bagi melancarkan operasi bantuan kepada mangsa bencana banjir khususnya akibat MTL yang dijangka berlaku bermula November hingga Mac tahun depan.

“Program ini dilaksanakan atas keprihatinan Petronas melihat kepada keperluan agensi terlibat,” ujar beliau.

Dalam pada itu, menurut Zulzuraidy, bantuan CSR daripada pihak korporat seperti Petronas itu dilihat dapat memperkasakan agensi terlibat ketika berhadapan dengan bencana banjir.

“Menurut laporan daripada agensi terlibat, MTL akan bermula November ini jadi kita kini melakukan pelbagai langkah sebagai persediaan termasuk memastikan aset dan peralatan kita mencukupi.

“Jadi bantuan daripada Petronas ini amat membantu meringankan usaha kita itu. Kita akan menggunakan aset serta peralatan yang disumbangkan ini secara optimum supaya kerja-kerja menyelamat dan sebagainya berjalan lancar.

KOMUNITI

“Selain kesiapsiagaan agensi terlibat kita juga berusaha memperkasakan komuniti di kampung-kampung dan daerah supaya mereka bersedia sekiranya bencana itu berlaku,” katanya.

Sementara itu ujar Awang Askandar, sumbangan berkenaan memberi nilai tambah kepada agensi tersebut yang mempunyai keanggotaan lebih 1,000 orang untuk bersiap siaga menghadapi musim tengkujuh.

Program itu adalah usaha berterusan Petronas untuk turut serta membantu rakyat ketika ditimpa bencana dan sebahagian daripada sumbangan bantuan banjir Petronas yang diumum pada Disember 2021 berjumlah RM25 juta sebagai membantu ribuan penduduk yang kehilangan tempat tinggal akibat banjir besar.

Dana berkenaan dicagarkan oleh unit dan anak syarikat dalam Kumpulan Petronas termasuk Yayasan Petronas.

Selain itu Petronas juga menyumbang sebanyak RM2.5 juta kepada Mercy Malaysia sebagai bantuan kepada mangsa banjir monsun yang melanda bahagian selatan dan barat Pakistan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya