Perpustakaan awam masih relevan, dikunjungi hujung minggu -

Perpustakaan awam masih relevan, dikunjungi hujung minggu

HANYA sebahagian pengguna terus mengunjungi perpustakaan untuk membaca dan menggunakan fasiliti di situ berbanding yang memilih secara pandu lalu melalui program myLibrary4u di PPAK, Alor Setar di Kedah. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perpustakaan awam secara fizikal masih relevan dan mempunyai peranannya walaupun jumlah kedatangan yang direkodkan tidak semeriah sebelum pandemik Covid-19.

Tinjauan Utusan Malaysia di perpustakaan awam di negeri-negeri mendapati, kunjungan lebih ramai pada hujung minggu khususnya dalam kalangan pelajar dan keluarga.

Di Ipoh, PERAK, perpustakaan awam di bandar raya ini masih mendapat tempat dalam kalangan masyarakat yang gemar membaca, namun, jumlah yang mengunjunginya ramai pada hujung minggu.

Tinjauan di sebuah perpustakaan awam di sini mendapati secara umumnya agak lengang pada hari bekerja walaupun ada pengunjung, namun, jumlahnya sekitar 70 orang sehari.

Ini disebabkan faktor hari bekerja manakala para pelajar berada di sekolah mahupun di institusi pengajian masing-masing.

Berdasarkan maklumat, pada hari minggu, lebih kurang 300 orang mengunjungi perpustakaan di sini dan jumlah itu meningkat kepada 1,000 orang pada hujung bulan.

“Saya perhatikan, perpustakaan yang merupakan tempat membaca dan mendapatkan akses kepada pelbagai jenis ilmu tidak seperti dahulu kerana kemudahan digitalilasi yang semakin memudahkan pengguna,” kata seorang pengunjung.

Di Alor Setar, KEDAH, inisiatif diambil Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah (PPAK) yang memperkenalkan program myLibrary4u secara pandu lalu memudahkan pelanggan bagi perkhidmatan peminjaman dan pemulangan buku di perpustakaan.

Pengarah PPAK, Shahizan Affandi Zakaria berkata, program yang diperkenalkan sejak 1 Februari tahun lalu secara tidak langsung turut membantu meningkatkan jumlah keahlian di perpustakaan tersebut.

“Pengguna hanya perlu membuat pesanan buku melalui WhatsApp kepada pegawai khidmat pelanggan dan buku-buku tersebut akan dihantar kepada pengguna di tempat yang disediakan, terus ke pintu kenderaan pelanggan secara door to door services.

“Pelanggan hanya perlu berada di dalam kereta dan tunggu penghantaran buku oleh kakitangan PPAK. Objektif program ini adalah untuk membantu pelanggan bagi mendapatkan buku pilihan mereka terutamanya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Di Kuala Terengganu,TERENGGANU, rakyat negeri ini masih mengekalkan tabiat suka membaca buku di perpustakaan awam secara fizikal apabila jumlah pengunjung mencatatkan peningkatan hampir 120 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT), Norliza Ismail berkata, seramai 106,204 pengunjung direkodkan di perpustakaan awam di seluruh negeri ini dalam tempoh Januari hingga Jun lalu berbanding hanya 40,557 orang dalam tempoh sama sepanjang tahun lalu.

Sementara itu, menurutnya, seramai 87,333 orang pula mengunjungi perpustakaan awam pada sepanjang tahun lalu.

Katanya, pengunjung yang masuk ke sistem atas talian PPAT juga meningkat dengan mendadak kepada 574,337 orang dari Januari hingga Jun lalu berbanding 663, 561 sepanjang tahun 2021.

“Perpustakaan di Terengganu sentiasa dikunjungi ramai kerana pelbagai transformasi yang telah dilakukan selama ini menjadikan ia lokasi kegemaran seisi keluarga terutama pada hujung minggu,” ujarnya.

Di Banda Hilir, MELAKA, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (Perpustam), Mohamed Aizammuddy Mohamed Idris berkata, membaca buku di perpustakaan atau secara digital melalui peranti masih lagi dianggap sebagai membaca.

Jelas beliau, perubahan tingkah laku itu boleh dilihat menerusi kehadiran pengunjung ke semua rangkaian perpustakaan Perpustam sebelum dan selepas pandemik Covid-19.

“Seramai 748,626 orang datang ke perpustakaan pada 2019, namun jumlah itu merosot sehingga 80 peratus pada 2020 dan 2021, masing-masing mencatatkan kehadiran pengunjung seramai 184,468 dan 39,651 orang. Pinjaman buku fizikal turut merudum daripada 482,737 buah pada 2019 kepada 229,873 buah (2020) dan 103,153 buah (2021).

“Bagaimanapun, trend pinjaman buku dalam talian melonjak naik lebih dua kali ganda ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan 80,466 buku pada 2020 diikuti 103,847 buku (2021) berbanding 48,787 buku pada 2019,” katanya ketika ditemui.

Di Kota Bharu, KELANTAN, kadar pinjaman buku di Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan (PPAK) tetap meningkat sebanyak 93.51 peratus meskipun perlu bersaing dengan cabaran penggunaan media sosial dan internet dalam kalangan masyarakat ketika ini.

Pengarah PPAK, Mohd. Shamsul Baharin Isa berkata, peningkatan itu dibuktikan apabila seramai 10,661 peminjam dicatatkan bermula Januari hingga Julai tahun ini berbanding 5,509 peminjam dalam tempoh sama pada tahun lalu.

“Kategori buku yang dipinjam pula pelbagai jenis dan ia bergantung kepada individu itu untuk membuat rujukan sebelum bahan bacaan tersebut dibawa pulang,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya