Perlis jangka bubar DUN selepas 13 Oktober - Utusan Malaysia

Perlis jangka bubar DUN selepas 13 Oktober

AZLAN MAN (depan, lima dari kanan) bersama penerima dokumen pemilikan tanah kerajaan negeri di Dewan Besar Felda Chuping, Padang Besar, Perlis hari ini. - UTUSAN/SYED AZLAN HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dijangka membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis selepas 13 Oktober ini.

Tarikh pembubaran DUN itu dijangka diumumkan selepas selesai sidang khas DUN bagi membahaskan undang-undang anti lompat parti dijadualkan Khamis ini.

Azlan berkata, beliau akan mempersembahkan tarikh yang bersesuaian kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail agar dapat diadakan pilihan raya serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, katanya, sidang khas DUN itu penting kerana akan membahaskan mengenai pindaan undang-undang tubuh negeri berkaitan keahlian parti politik supaya ia bertepatan dan bersesuaian dengan pindaan Perlembagaan negara.

“Sidang khas DUN itu perlu dilakukan bagi mengelakkan isu percanggahan perundangan dan ia akan dilaksanakan pada 13 Oktober ini.

“Pindaan ini memerlukan perkenan Raja Perlis dan selepas itu barulah akan dilakukan gazet atau pewartaan yang mana perkara tersebut adalah proses terakhir di peringkat pentadbiran,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Dokumen Hak Milik Tanah Kerajaan di Negeri Perlis yang berlangsung di Dewan Besar Felda Chuping, di sini hari ini.

Semalam, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa semalam selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memberi laluan kepada PRU15.

Tambahnya, beliau mengharapkan pindaan undang-undang tubuh negeri yang akan dilakukan  akan terpakai kepada wakil-wakil rakyat yang akan terpilih pada PRU15.

Katanya, apabila DUN dibubarkan, undang-undang tersebut tidak terpakai kerana ia hanya digubal untuk wakil rakyat dan hanya digunakan selepas pilihan raya nanti. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya