Percepat pembinaan Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah -

Percepat pembinaan Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah

AL-SULTAN Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) berkenan menyempurnakan simbolik penyampaian bantuan peralatan rumah kepada penerima rumah rakyat Al-Sultan Abdullah di Kampung Hulu Temai di Pekan, Pahang. -UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Kontraktor Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah di negeri ini diarahkan mempercepatkan pembinaan rumah berkenaan sebelum tiba Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November depan.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, mereka perlu menyegerakannya walaupun keadaan cuaca tidak menentu supaya penerima yang terjejas banjir dapat berpindah secepat mungkin.

“Harap pihak kontraktor mempercepatkan kerja pembinaan walaupun terpaksa bekerja dalam hujan supaya mereka dapat berpindah secepat mungkin.

“Dalam pada itu juga, walaupun terpaksa menyiapkan dalam keadaan yang cepat… perlulah buat dengan sempurna dan janganlah buat kerja ala kadar,” titah baginda ketika mencemar duli pada Majlis Pelancaran Projek Perumahan dan Penyampaian Surat Tawaran Bantuan Untuk Mangsa Banjir Negeri Pahang Sumbangan Pertubuhan Bulan Sabit Merah Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Kampung Temai Hulu di sini hari ini.

RUMAH Rakyat Al-Sultan Abdullah yang dibina di Kampung Hulu Temai di Pekan, Pahang. -UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB

Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah dibina sebanyak 123 buah di beberapa kawasan kritikal membabitkan tujuh buah daerah iaitu Pekan, Lipis, Jerantut, Raub, Maran, Temerloh dan Bentong.

Kerajaan UAE menyumbang dana berjumlah RM12.75 juta dalam usaha membantu kerajaan Pahang menangani masalah banjir sekali gus dapat menjayakan projek rumah rakyat tersebut.

Seorang penerima, Zainal Lela, 55, berkata, boleh dikatakan setiap tahun rumahnya akan dinaiki air setinggi sekitar lapan kaki dan keadaan itu dilaluinya lebih 10 tahun.

“Seingat saya, selama duduk sini, mungkin dua tahun sahaja bila berlaku banjir kami tidak perlu berpindah ke pusat pemindahan. Kalau tidak… hampir setiap tahun berpindah.

“Harap bila duduk rumah baru ini, kami tidak lagi ditimpa musibah yang sama yang menyebabkan kami terpaksa berhadapan dengan kerugian akibat kerosakan. 

“Kini, saya sudah mula merasa lega dan bersyukur terpilih sebagai menerima rumah rakyat ini,” katanya yang telah menetap di Kampung Temai Hulu sejak 33 tahun lalu. 

Seorang lagi penerima, Zainuma Abu Bakar,  34, berkata, dengan adanya rumah rakyat tersebut dapat menyelesaikan masalah banjir yang sering dihadapinya.

“Alhamdulillah… syukur tidak terkata. Terima kasih buat kerajaan kerana kurniakan tempat tinggal yang bebas banjir untuk kami.

“Dengan ini, kami tidak lagi tinggal di kawasan rumah yang banjir,” katanya.

Bagi, Mohd. Sidek Mohd. Saleh, 36, pula, melahirkan rasa syukur ekoran tidak lagi berdepan masalah banjir yang sering dihadapinya saban tahun.

“Setiap tahun rumah saya dinaiki air dan setiap kali itu juga saya terpaksa mengeluarkan banyak duit untuk membaik pulih rumah yang rosak akibat banjir.

“Boleh kata tiap-tiap tahun saya dan isteri serta empat anak kami terpaksa berpindah ke pusat pemindahan banjir. Harap lepas ini, kami tak perlu berpindah lagi,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya