PETALING JAYA: Selepas hampir seminggu dibuka, Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) mencatat kemalangan maut pertama melibatkan penunggang motosikal dalam kejadian tengah malam tadi.
Kejadian pukul 12.05 tengah malam itu berlaku apabila motosikal SYM VF3I yang ditunggang lelaki berusia 24 tahun terbabas sebelum terjatuh ke atas jalan di Kilometer (KM) 15.7 DASH dekat Penchala, di sini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Penchala menghala ke Denai Alam.
“Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil ke mana-mana balai polis terdekat bagi membantu siasatan,” katanya.- UTUSAN