KOTA BHARU: Penoreh getah di negeri ini tidak berhasrat untuk menggantikan tanaman itu dengan kelapa sawit tetapi tetap setia dengan komoditi tersebut walaupun harganya menjunam sejak beberapa bulan lalu sehingga mencecah RM2.40 sekilogram.
Sungguhpun, perit untuk ‘ditelan,’ rata-rata pekebun yang ditemui menegaskan, mereka tidak mempunyai pilihan lain selain terus ‘bertahan’ dengan tanaman diusahakan itu sejak puluhan tahun lalu
Seorang pekebun dari Kampung Kubang Kiat, Ketereh, Zulkarnain Latif, 58, berkata, melihat kepada keadaan semasa tidak berbaloi untuk dia meneruskan tanaman getah ditambah pula dengan peningkatan harga input pertanian ketika ini.
Menurutnya, bertahan merupakan langkah terbaik yang ada ketika ini kerana untuk bertukar ke tanaman lain memerlukan perbelanjaan besar serta tempoh masa yang agak panjang menuai hasil.
“Kalau nak bertukar ke tanaman lain bukan sesuatu yang mudah, malah ia juga perlu melalui beberapa proses yang pastinya mengambil masa dan kos yang tinggi.
“Oleh sebab itu, saya terpaksa meneruskan tanaman getah ini walaupun agak terhimpit dengan harga getah yang sangat rendah,”katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, seorang lagi pekebun, Sarani Abdul Ghapar, 57, berkata, paras harga getah kini begitu rendah sehingga hasil yang diperolehi amat berbeza berbanding sebelum ini.
Katanya, sebelum ini dia mampu meraih pendapatan sehingga RM500 seminggu berbanding beberapa minggu kebelakangan ini, dia hanya memperoleh pendapatan RM200 seminggu.
“Bayangkan jika pekebun yang menoreh menggunakan sistem pawah, mereka hanya mampu memperoleh pendapatan RM100 seminggu.
“Situasi ini pastinya amat dirasai oleh pekebun getah seperti kami dan diharap agar pihak berkaitan dapat membantu menstabilkan harga getah selain menyediakan bantuan tambahan,” katanya. –UTUSAN