Penjawat awam mengaku tidak bersalah terima rasuah RM5,000 -

Penjawat awam mengaku tidak bersalah terima rasuah RM5,000

AZMAN ABDUL RAHMAN dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5,000 lima tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang penjawat awam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5,000, lima tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Azman Abdul Rahman, 54, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh yang bertugas sebagai Ketua Jabatan Pengurusan Pelajar di Kolej Matrikulasi Johor (KMJ) di Tangkak menerima rasuah wang tunai berjumlah RM4,000 daripada pemilik sebuah pusat sukan.

Perbuatan itu sebagai balasan mendapatkan kerja penyelenggaraan peralatan sukan bagi persediaan dan kegunaan pelajar serta membekal pakaian kontinjen pada Karnival Kokurikulum Matrikulasi (KAKOM) di pejabatnya pada Julai dan 12 September 2017.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa menerima suapan RM1,000 menerusi transaksi ke akaun bank miliknya daripada seorang pengurus besar sebuah syarikat pembersihan yang tertuduh tahu mempunyai kaitan dengan tugas rasminya di sebuah bank di Pagoh, Muar, pada 22 Ogos 2017.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Pegawai Pendakwa SPRM, Nik Lokman Hakim Nik Mohd. Nor mencadangkan ikat jamin RM15,000 bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jumlah itu dikurangkan memandangkan mempunyai tanggungan lima orang anak dengan tiga daripadanya masih menuntut di universiti dan seorang isteri serta ibu bapa yang menghidap kencing manis dan darah tinggi selain masih mendapatkan rawatan susulan.

“Saya kurang berkemampuan dan hanya mampu membayar jaminan RM3,000,” katanya yang mempunyai pendapatan RM7,000 sebulan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi lantikan peguam dan serahan dokumen pada 22 November depan. –UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya