SEREMBAN: Para peniaga ayam segar ketika ini mengakui tertekan selepas mereka kini terpaksa menerima bekalan bahan mentah itu dengan harga tinggi daripada pihak pembekal.
Seorang peniaga ayam di Pasar Ampangan di sini, Alizan Tambi, 51, berkata, golongan peniaga sukar untuk mengikut harga bagi sekilogram ayam yang ditetapkan pada RM9.40.
Dakwanya, ketika ini pihak pembekal memberikan harga iaitu RM7.60 sehingga RM7.70 sekilogram ayam kepada peniaga-peniaga sepertinya.
“Dengan harga begitu, bagaimana kami mahu jual pula pada harga RM9.40? Kenaikan harga di peringkat pembekal dan orang tengah ini sudah berlaku sejak tiga minggu yang lalu.
“Kami terpaksa menjual pada harga RM10.50 sekilogram kepada pengguna, ia termasuk caj potong ayam dan bagi menampung peningkatan kos yang lain seperti plastik yang sudah naik harga,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.
Alizan menambah, pembekal juga sekarang ini menghadkan penghantaran ayam kepada peniaga dengan alasan ayam berkurangan di ladang.
“Saya terima 500 ekor ayam sahaja setiap hari, memang cepat habis, dalam pukul 8.30 sudah habis, ramai juga pengguna yang merungut, tapi apa yang boleh saya buat?
“Saya percaya ini hanya ‘permainan’ pihak ladang dan pembekal, mereka orang yang sama. Saya harap pihak berkuasa tidak melihat harga di peringkat peniaga sebaliknya pergi ke ladang-ladang dan lihat sendiri apa sebenarnya yang berlaku,” katanya.
Dia memberitahu, peniaga sukar untuk mendapatkan bekalan ayam daripada pihak pembekal yang lain kerana setiap pembekal perlu mengutamakan pelanggan sedia ada mereka terlebih dahulu. –UTUSAN