PETALING JAYA: Pengundi tegar Barisan Nasional (BN) di enam negeri yang tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) diharap pulang mengundi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, BN memahami pengundi luar berkemungkinan berdepan dilema untuk pulang dua kali sama ada pada PRU15 atau pembubaran DUN tahun hadapan.
Bagaimanapun katanya, diharap 99 peratus pengundi BN yang mana kebanyakannya terdiri daripada penyokong tegar, ahli UMNO, keluarga yang menyokong UMNO dapat keluar mengundi kali ini.
“Pengundi luar akan pilih pulang hari raya atau pilihan raya, jadi saya harap mereka yang ingin mengundi BN pulanglah.
“Yang tak mahu mengundi BN, (maka) terpulang pada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi wawancara ‘Sembang PRU15’ bersama Media Mulia TV (MMTV).
Mengulas lanjut, Ahmad mengakui, hampir tujuh juta pengundi baharu pada PRU15 kali ini merupakan satu angka yang menggerunkan bukan sahaja kepada BN, malah parti lain.
Katanya, ini kerana tidak ada satu parti pun yang yakin dapat menawan generasi baru.
“Cuma, pengundi baru anak muda sama ada berusia 18 tahun atau sehingga 40 tahun, cuba lihat apakah yang kita kehendaki.
“Jadi (formula) PKPKPK (Pendidikan, Kemahiran, Peluang Berniaga, Kerja, Perumahan dan Kebajikan) dapat menjadi perkara utama untuk difikirkan generasi muda,” jelasnya. – UTUSAN