SEPANG: Pengundi di seluruh Selangor dinasihatkan menghukum kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana berani menipu rakyat dalam isu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Perkara itu ditegaskan oleh Ketua UMNO Bahagian Sepang, Noorazli Said sebagai mengulas pendedahan Istana Selangor mengenai tiada permintaan dikemukakan untuk DUN dibubar.
“Bayangkan jika Sultan Sharafuddin Idris sendiri pun tidak dimaklumkan isu sebenar, apatah lagi kita rakyat biasa lebih mudah ditipu oleh kerajaan negeri PH,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sepang 2022 di sini hari ini yang turut dihadiri wakil komponen Barisan Nasional iaitu MCA dan MIC.
Pada 11 Oktober lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari mendakwa kononnya Sultan Selangor bertitah tidak perkenan pembubaran DUN dan pentadbiran diteruskan seperti biasa.
Namun, Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani pada 13 Oktober lalu mengesahkan tiada permintaan pembubaran dan kenyataan Amirudin sebagai mengelirukan.
Amirudin tidak membuat permohonan itu selaras dengan keputusan Majlis Presiden PN agar tiga negeri dikuasai blok tersebut tiada pilihan raya serentak dengan Pilihan Raya Umum (PRU).
Mengulas lanjut, Noorazli berkata, pelaksanaan secara serentak PRU dengan DUN tidak akan menyusahkan rakyat apabila terpaksa mengundi sekali lagi dalam masa kurang enam bulan.
Pada masa sama, kos perbelanjaan tinggi terpaksa ditanggung Suruhanjaya Pilihan Raya jika pilihan raya untuk negeri tersebut dilaksanakan secara tidak serentak dengan PRU-15 kelak.
Justeru, beliau menyeru jutaan pengundi di Selangor tampil menghukum PH pada PRU kali ini kerana angkuh mementingkan soal politik sempit dengan menjadikan cuaca sebagai alasan. –UTUSAN