JEMPOL: Golongan pengundi di tanah rancangan Felda perlu membuat penilaian sebaiknya bagi memilih wakil rakyat mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Mohd. Salim Mohd. Sharif berkata, pengundi perlu memastikan mereka memilih kerajaan yang dapat membela nasib rakyat termasuk yang berada di kawasan Felda.
“Kita tahu peneroka dan generasi kedua Felda merupakan penyokong kuat Barisan Nasional (BN) apatah lagi selepas kecewa dengan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum lalu terutamanya berkaitan janji mengenai hutang peneroka Felda.
“Kerajaan Keluarga Malaysia terbitkan sukuk dan menghapuskan hutang peneroka, kerajaan Keluarga Malaysia lebih mengutamakan kepentingan rakyat.
“Buat pertimbangan dengan bijak dan menolak parti lain supaya tidak berkuasa sekali lagi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pekebun Kecil Makmur dan Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (Prospek) Jempol di Kampung Serting Ilir di sini hari ini.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin memberitahu bahawa PN yakin untuk memenangi kerusi yang ditandingi pada PRU-15 yang membabitkan kawasan peneroka Felda.
Keyakinan PN itu kata beliau, bersandarkan bahawa kawasan peneroka Felda bukan lagi deposit tetap buat UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Mohd. Salim yang juga Pengerusi BN Parlimen Jempol dalam pada itu berkata, kerajaan Keluarga Malaysia yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob banyak membantu dan membela nasib peneroka Felda.
“Saya percaya peneroka Felda akan terus bersama BN dalam PRU-15 pada kali ini. Ini terbukti dalam program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia yang diadakan di sini baru-baru ini, lebih 20,000 masyarakat Felda yang hadir.
“Sambutan luar biasa ini menunjukkan sokongan mereka kepada kerajaan sedia ada,” katanya. –UTUSAN