CALIFORNIA: Penggodam yang mencuri dua lagu Ed Sheeran yang belum diterbitkan dan bertindak menjualnya di pasaran gelap dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan.
Tertuduh, Adrian Kwiatkowski memperdagangkan muzik penyanyi popular tersebut dan 12 judul lagu penyanyi rap, Lil Uzi Vert dalam urusniaga matawang kripto.
Perkhidmatan Crown Prosecution memaklumkan, lelaki berusia 23 tahun dari Ipswich berjaya diberkas selepas penggodaman akaun digital terbongkar.
Kwiatkowski mengaku melakukan kesalahan tersebut selepas 19 pertuduhan dibacakan, termasuk pelanggaran hak cipta serta memiliki harta jenayah.
Polis Kota London mendedahkan, suspek berjaya meraih 131,000 pound (RM620,000) hasil jualan muzik tersebut.
Beberapa bahan bukti seperti komputer riba Apple Mac, 565 fail audio, termasuk lagu Sheeran dan Vert dijadikan sebagai bahan bukti di Mahkamah Ipswich Crown.
Pihak berkuasa Amerika Syarikat melancarkan siasatan berhubung kes tersebut sejak 2019.
Kes terbongkar selepas pihak pengurusan beberapa pemuzik membuat laporan kepada Pendakwa Raya Daerah New York mengenai seorang individu yang dikenali sebagai Spirdark menggodam beberapa akaun dan menjual kandungan tersebut.
Hasil penyiasatan mendapati alamat e-mel yang digunakan akaun matawang kripto Spirdark mempunyai kaitan dengan akaun Kwiatkowski.
Alamat rumahnya di United Kingdom turut dihubungkan dengan alamat IP yang digunakan untuk menggodam sistem itu.
Kes tersebut kemudian diserahkan kepada Polis Kota London dan Kwiatkowski diberkas pada September 2019.
Sheeran atau nama lengkapnya, Edward Christopher merupakan seorang penyanyi dan komposer popular dengan lagu seperti Shape of You, Perfect dan Shivers.-BBC