Pengayuh beca Pulau Pinang kembali peroleh pendapatan harian -

Pengayuh beca Pulau Pinang kembali peroleh pendapatan harian

SEBAHAGIAN daripada pengayuh beca pada program CSR bersama pengurusan Ascott Gurney Penang di Persiaran Gurney, George Town, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Ketika pandemik Covid-19, seorang pengayuh beca di pusat bandar di sini, Roshdi Abdul Rahman, 58, terpaksa melakukan kerja sambilan sebagai pengawal keselamatan bagi menampung kehidupan.

Bagaimanpun, kini Roshdi boleh menarik nafas lega apabila dapat kembali mengayuh beca dengan pendapatan sekitar RM100 hingga RM200 sehari selepas sektor pelancongan kembali pulih di negeri ini.

Roshdi yang merupakan bapa kepada dua anak berusia 20-an berkata, dia tidak dapat mengayuh beca sepanjang pandemik kerana ketiadaan pelancong dan kesukaran hidup membuatkan dia terpaksa melupakan seketika pekerjaan sebagai pengayuh beca.

“Saya sudah 16 tahun mengayuh beca, jadi pekerjaan ini sudah sebati dengan diri, ketika pandemik Covid-19 saya tiada pendapatan langsung.

”Jadi, untuk menampung pendapatan keluarga, saya bekerja sebagai pengawal keselamatan dan hanya kembali mengayuh beca pada September tahun lalu selepas pandemik Covid-19 mulai reda.

“Kini, rata-rata pengayuh beca sudah mampu memperoleh pendapatan sekitar RM100 hingga RM200 dan boleh meningkat terutama ketika cuti hujung minggu dan cuti sekolah,” katanya ketika ditemui di Ascott Gurney Penang, di sini hari ini.

Terdahulu, Roshdi dan lima lagi pengayuh beca di negeri ini terpilih menerima bantuan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada pengurusan Ascott Gurney Penang dari sudut penyelenggaraan beca.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin dan Pengurus Besar Ascott Gurney Penang, Sharon Ang.

Seorang lagi pengayuh beca, K. Puveneswaran, 43, berkata, kedatangan pelancong yang kembali meningkat ke Pulau Pinang turut membantu pengayuh beca menjana pendapatan semula selepas hampir dua tahun pandemik Covid-19 melanda.

“Sekarang, waktu hujung minggu kami sudah boleh membawa pelancong dan dalam sehari kami boleh bawa empat atau lima trip pelancong menaiki beca,” katanya.

Dalam pada itu, Sharon berkata, pemberian bantuan untuk menyelenggara beca kepada hampir 200 pengayuh beca yang aktif itu akan dilaksanakan secara berperingkat.

”Ini merupakan program CSR kami untuk membantu pengayuh beca menjana pendapatan dan menghidupkan warisan budaya Pulau Pinang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya