PETALING JAYA: Golongan pelakon diingatkan supaya meneliti terlebih dahulu perincian kontrak yang ditawarkan sebelum bersetuju melakukan sebarang aksi lagak ngeri di set penggambaran.
Pelakon, Iedil Dzuhrie Alaudin menasihatkan semua anak seni agar mengambil serius butiran perjanjian dalam kontrak yang sudah ditandatangani.
“Aksi lagak ngeri sebenarnya lebih bagus jika pelakon sendiri yang buat. Ini kerana pengarah tidak perlu melakukan rakaman berkali-kali. Namun, jika pelakon tidak bersedia, pengarah tidak perlu meneruskan aksi tersebut.
“Babak melibatkan lagak ngeri hanya boleh dibuat dengan latihan yang mencukupi.
Disebabkan itu, penting untuk pelakon hadam semula kontrak, termasuk perkara berkaitan insurans jika berlaku kemalangan,” kata pelakon drama Ijab Kabut tersebut.
Pelakon The Assistant itu juga berpendapat, tidak wajar untuk mana-mana pengarah bersikap lepas tangan jika berlaku kecederaan di lokasi penggambaran.
“Pengarah perlu bertanggungjawab dan jika mereka lepas tangan, itu jelas salah. Mereka yang sediakan lapangan untuk pelakon, jadi perlu menjaga kebajikan pihak yang terlibat.
“Saya dahulu sebelum masuk berlakon adegan aksi akan buat latihan selama sebulan. Jika tidak lakukan persediaan yang cukup, memang akan mengundang kecederaan,” katanya lagi.
Beliau mengulas mengenai isu pelakon, Wafariena Roslan yang dimasukkan ke sebuah pusat perubatan selepas mengalami kecederaan akibat dipaksa melakukan lagak ngeri untuk sebuah drama.
Wafariena mendakwa, pengarahnya bersikap mendiamkan diri tanpa mengambil peduli mengenai kemalangan di lokasi penggambaran.