TAPAH: Kira-kira 160 penduduk penduduk Kampung Orang Asli Kampung Lata Kinjang di sini berharap kerajaan menyegerakan projek bekalan air bersih untuk mereka yang melibatkan 48 unit rumah di kampung itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Tok Batin kampung itu, Rani Bah Ulin berkata, mereka sudah lama menanti bekalan air paip iaitu sejak kira-kira 40 tahun lalu namun belum dapat dibekalkan oleh kerajaan.
Menurutnya, akibat tiada bekalan air paip, penduduk terpaksa menggunakan air sungai untuk keperluan seharian seperti memasak, membasuh pakaian, mandi, minum dan sebagainya.
“Perkara yang menjadi masalah kepada semua penduduk di sini ialah apabila hujan, air di sungai yang kami gunakan akan menjadi keruh.
“Kami terpaksa menunggu lama untuk air sungai kembali jernih dan ini menyusahkan kami.
“Air sungai yang keruh juga merosakkan mesin basuh yang digunakan penduduk untuk membasuh pakaian,” katanya
Rani berkata, keperluan penduduk terhadap air bersih sudah diadukan kepada pihak yang berkenaan namun setakat ini tidak nampak usaha daripada kerajaan untuk membekalkan air paip ke kampung itu.
Katanya, malah 10 tahun lalu penduduk menggunakan air yang dipam dari tanah menerusi pam yang dipasang di kampung itu di bawah program bantuan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bagi penduduk di sini.
“Tahun lepas permintaan sudah mohon kepada Lembaga Air Perak (LAP) supaya memasang paip air bersih bagi penduduk di kampung ini menikmati kemudahan air bersih.
“Tetapi hingga kini tidak ada jawapan, jadi kami terus gunakan air sungai sampai sekarang.
“Saya harap kerajaan dapat melihat keperluan ini apatah lagi kampung kami merupakan tarikan pelancong yang datang setiap hari,” katanya. –UTUSAN