Pencapaian hafiz al-Quran membanggakan - Utusan Malaysia

Pencapaian hafiz al-Quran membanggakan

SULAIMAN Md. Ali (kiri) menyampaikan sijil kepada seorang hafiz pada Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Hafiz di Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri meraikan 140 hafiz yang berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran dan lulus peperiksaan Sijil Tahfiz Malaysia (STM) dalam satu majlis yang diadakan di Ayer Keroh di sini, semalam.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, para hafiz berkenaan adalah pelajar dari tiga buah sekolah iaitu Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Selandar, Sekolah Menengah Agama Tahfiz Al-Quran Chenderah dan Sekolah Menengah Tahfiz Al-Quran Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Abqari.

Menurut beliau, STM adalah peperiksaan di bawah kendalian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang mengiktiraf pencapaian hafiz di Malaysia.

“Saya difahamkan anak-anak hafiz ini juga menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 dan turut mencapai kejayaan cemerlang. Bukan mudah untuk anak-anak ini menamatkan 30 juzuk al-Quran kerana dalam masa sama perlu mempelajari sembilan atau 10 mata pelajaran akademik.

“Sejujurnya, saya berbangga dengan pencapaian dan kebolehan para hafiz. Saya berharap kecemerlangan ini akan berterusan pada tahun-tahun akan datang,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Hafiz di sini, semalam.

Tambah Sulaiman, kerajaan negeri turut meraikan 32 pelajar cemerlang yang mendapat purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 4.00 dalam peperiksaan STPM 2021.

Katanya, lebih membanggakan apabila seorang daripada pelajar itu muncul antara 10 pelajar terbaik STPM di peringkat nasional.

“Tahniah kepada Lim Sze Ling dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Sebang. Kerajaan negeri melalui Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (Tapem) menyalurkan pelbagai jenis bantuan dan peruntukan untuk membantu anak-anak negeri ini dalam bidang pendidikan.

“Sumbangan kerajaan negeri sentiasa berterusan dan ditambah baik sejak tahun 2000. Komitmen ini jelas membuktikan kesungguhan dalam mengangkat martabat pendidikan seiring Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 di bawah flagship tujuh iaitu menjadikan Melaka sebagai hab pendidikan dan teknologi,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya