Pemimpin pindah-randah hanya politikus, tak fikir soal rakyat -

Pemimpin pindah-randah hanya politikus, tak fikir soal rakyat

MAHDZIR Khalid (tengah) menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada pengunjung selepas merasmikan Mini KUD Padang Terap di Kuala Nerang hari ini - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Budaya pemimpin yang sering berpindah-randah sebagai calon pilihan raya adalah hanya untuk tujuan politik semata-mata tanpa memikirkan soal rakyat yang pernah memilih mereka sebelum itu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, mereka langsung tidak menghiraukan pembangunan kepada rakyat termasuk prasarana, pendidikan dan pembangunan sosio-ekonomi di sesuatu tempat.

Katanya, sikap berkenaan hanya akan memberikan kesan yang tidak baik kepada rakyat apatah lagi sekiranya mereka menang pilihan raya dan tidak menyediakan perkhidmatan cemerlang kepada orang ramai.

“Pilihan raya ini bukan cerita syok-syok. Maksud pilihan raya dalam sebuah negara yang demokrasi adalah memilih pemimpin. Keduanya pemimpin itu mesti berkhidmat untuk rakyat.

“Kalau misalnya dia bertanding Parlimen di jarak 200 kilometer berbanding ketika dia bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum itu, sebenarnya itu lebih kepada melihat bagaimana nak membina sesebuah parti sahaja.

“Mereka duduk situ tujuan untuk politik sahaja, lepas itu rasa tak selesa pindah tempat lain pula, mereka tak peduli kepada rakyat. Rakyat itu bukan masalah mereka, rakyat itu masalah kerajaan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penutup Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) di Kuala Nerang, hari ini.

Selain Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertukar kerusi Parlimen dari Port Dickson ke Tambun, bekas Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin turut berpindah dari Hang Tuah Jaya ke Bagan Datuk.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, budaya tersebut tidak dipraktikkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang berkhidmat di sesuatu kawasan sehingga mereka bersara.

“Kita (BN) nak bagi perkhidmatan kepada orang ramai. Orang itu (pemimpin) pun tak ada masalah nak jumpa sebab dia ada di situ. Walaupun bertanding Parlimen dan perlu selalu ke Kuala Lumpur, sekurang-kurangnya hujung minggu dia balik ke kawasan.

“Rakyat nak cakap sikit sahaja hal mereka, pada mereka, mungkin (permintaan) kecil. Tapi kepada rakyat itu benda yang besar. Contohnya minta buat jalan 300 meter sahaja tetapi untuk penduduk ia amat penting,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya