Pemandu lori guna telefon bimbit ketika memandu dikompaun -

Pemandu lori guna telefon bimbit ketika memandu dikompaun

SEBANYAK 13 kompaun dikeluarkan oleh Unit Operasi JPJ Pulau Pinang terhadap pemandu kenderaan perdagangan khususnya pemandu lori yang menggunakan telefon bimbit ketika memandu di sekitar Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMATANG PAUH: Sebanyak 13 notis kompaun dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dalam operasi penguatkuasaan melibatkan penggunaan telefon bimbit semasa memandu di sekitar Seberang Jaya di sini, bermula kelmarin.

Menurut JPJ negeri, operasi yang dijalankan selama dua hari berturut-turut itu secara umumnya menyasarkan pemandu-pemandu kenderaan perdagangan khususnya lori.

“Penguatkuasaan itu dibuat secara berfokus iaitu terhadap kesalahan di bawah Subkaedah 17 A(1) Kaedah-kaedah Lalu-lintas Jalan 1959, iaitu penggunaan telefon bimbit semasa memandu.

“Kesalahan ini boleh dikompaun sebanyak RM300 dan pemberian mata demerit juga boleh dilaksanakan dalam sistem Kejara (Kesalahan Jalan Raya),” katanya dalam  kenyataan di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, penggunaan telefon bimbit semasa memandu seperti menjawab panggilan, melayari aplikasi whatsApp, laman Facebook dan sebagainya merupakan satu budaya dan amalan yang tidak baik dalam kalangan pemandu masa kini. 

“Sikap sedemikian boleh menyebabkan pemandu hilang fokus pemanduan di jalan raya selain berbahaya kepada pemandu itu sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

“Pada masa sama, amalan sebegini khususnya dalam kalangan segelintir pemandu kenderaan perdagangan juga boleh mengundang risiko kemalangan disebabkan kelekaan, serta memperlahankan masa tindak balas semasa pemanduan,” katanya.

Jelas JPJ negeri, kajian oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia atau  Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) juga mendapati pemandu yang menggunakan telefon bimbit semasa memandu boleh menyebabkan kenderaan tersasar dari lorong, terlepas simpang, melanggar pejalan kaki dan melanggar lampu merah. 

Sehubungan itu katanya, pengguna jalan raya dinasihatkan patuh kepada peraturan dan undang-undang ketika memandu untuk mengelakkan daripada dikenakan tindakan penguatkuasaan.

“Selain itu, pematuhan berkenaan dapat mengurangkan risiko kemalangan disebabkan kecuaian.

“Jadi, memandulah dengan berhemah dan bertimbang rasa supaya pemanduan selamat sampai ke destinasi yang ditujui,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya