HULU TERENGGANU: Kelemahan capaian internet dan telekomunikasi di Tasik Kenyir, dekat sini antara ketidakpuasan hati yang sering diluahkan para pelancong setiap kali berkunjung ke tasik buatan manusia itu.
Pengerusi Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir, A. Raziz A.Rahim berkata, walaupun setakat ini terdapat tiga menara telekomunikasi dibina di sekitar tasik tersebut, namun, ia belum memadai dan perlu ditambah kerana jaringannya masih tidak meluas.
Menurutnya, pelancong yang mengunjungi beberapa lokasi menarik di Tasik Kenyir didapati gelisah kerana tidak mempunyai capaian internet dan telekomunikasi.
“Pelancong yang datang ke Tasik Kenyir terdiri daripada pelbagai latar belakang. Walaupun pada hakikatnya mereka bercuti, namun, ada dalam kalangan pelancong itu masih perlu hadiri kursus, mesyuarat secara dalam talian serta menyemak hal-hal berkaitan tugasan masing-masing.
“Urusan mereka terbantut apabila datang ke Tasik Kenyir ekoran banyak kawasan tumpuan tiada capaian internet dan telekomunikasi seperti di Taman Negara dan menara telekomunikasi paling hampir cuma di Pulau Bayas.
“Jadi, seharusnya jaringan internet dan telekomunikasi di Tasik Kenyir diperluas. Salah satu lokasi strategik untuk dibina menara tambahan antara kawasan Air Terjun Lasir dengan Air Terjun Sauk,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tambah beliau, pihaknya menyambut baik sekiranya pihak berkaitan menyediakan menara telekomunikasi tambahan dalam kawasan Tasik Kenyir yang juga penting sekiranya berlaku sesuatu kecemasan.
“Telekomunikasi ini bukan hanya untuk kemudahan perhubungan pelancong tetapi juga berhubung kait dengan isu-isu keselamatan seperti pelancong sakit atau lemas,” ujarnya.
Sementara itu, seorang pelancong yang menggunakan perkhidmatan rumah bot, Alias Ali, 42, dari Shah Alam, Selangor berkata, dia kecewa apabila beberapa kawasan di Tasik Kenyir tidak mempunyai jaringan internet dan telekomunikasi.
Menurutnya, walaupun bercuti tetapi beliau dan beberapa pelancong lain masih perlu menyelesaikan beberapa tugasan secara dalam talian.
“Saya akui pelancongan di Tasik Kenyir memang menyeronokkan, tetapi, kekurangannya tidak mempunyai jaringan internet,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan negeri memberi jaminan masalah capaian telekomunikasi dan internet yang lemah di Tasik Kenyir akan selesai apabila dua menara telekomunikasi baharu dibina di kawasan pelancongan itu pada tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Ulitili dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh berkata, ketika ini hanya terdapat tiga menara telekomunikasi di tasik tersebut iaitu di Pulau Camar, Tanjung Betung dan Pulau Bayas. –UTUSAN