Pelajar sekolah cedera ditikam di rumah - Utusan Malaysia

Pelajar sekolah cedera ditikam di rumah

MANGSA terbaring kesakitan selepas ditikam suspek di rumahnya di Shah Alam, Selangor, petang Sabtu lalu-UTUSAN/ MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang pelajar sekolah cedera ditikam di perut selepas bergelut dengan seorang pencuri di rumahnya di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 12.10 tengah hari itu berlaku semasa mangsa yang berusia 15 tahun tinggal berdua bersama abangnya yang berusia 17 tahun.

“Kejadian berlaku apabila mangsa ke dapur yang bertujuan untuk minum air, tersempak dengan suspek yang pada ketika itu bersembunyi di tepi mesin basuh.

“Selepas itu, berlaku pergelutan di antara mangsa dan suspek dengan suspek yang disyaki seorang warga tempatan menikam mangsa di bahagian perut menggunakan sebatang pemutar skru,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Akibat pergelutan itu, mangsa telah dibawa ke Hospital Shah Alam bagi mendapat rawatan dan kini ditempatkan di wad biasa serta berada dalam keadaan stabil.

Menurut Mohd. Iqbal, pemeriksaan yang dijalankan pihak hospital mendapati terdapat kecederaan luka kecil di perutnya.

“Manakala siasatan bagi kes itu mendapati suspek telah masuk ke rumah mangsa melalui pintu belakang dan dipercayai hendak melakukan jenayah pecah rumah.

“Kami mengesyaki pemutar skru berkenaan digunakan untuk mengumpil rumah mangsa,” ujarnya.

Mohd. Iqbal memohon orang ramai yang menyaksikan atau mempunyai maklumat berhubung kejadian terbabit untuk segera menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Mohamad Zulkifli Mohamad di talian 01116958529 atau ke mana-mana balai polis berhampiran.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun serta mendatangkan kecederaan.

“Pihak hospital kini sedang berurusan dengan keluarga mangsa untuk mendapatkan persetujuan membuat pembedahan kerana mangsa sebelum ini pernah menjalani pembedahan apendiks di bahagian perut yang sama,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya