LANGKAWI: Jabatan Laut Malaysia (JLM) tubuh pasukan siasatan bagi menyiasat insiden feri penumpang yang terkandas di alur pelayaran Kuala Kedah-Langkawi kelmarin dan Ahad lalu.
Pengarah JLM Wilayah Utara, Mohd. Hafiz Abdul Majid berkata, pihaknya juga akan mengadakan perjumpaan dengan operator feri dan kontraktor pengerukan hari ini bagi mencari penyelesaian segera untuk mengelak kejadian sama berulang.
Beliau menjelaskan, alur pelayaran akan menjadi semakin sempit pada kelebaran 70 meter apabila semakin hampir dengan terminal feri manakala feri pula perlu mengekalkan prosedur perkhidmatan seperti yang ditetapkan oleh JLM.
“Kami akan mengadakan perjumpaan bagi mengambil jalan tengah untuk kedua-dua pihak bagi memastikan perkhidmatan feri dapat berjalan seperti biasa.
“Walau bagaimanapun, kabel penambat kapal pengorek itu tetap akan memasuki alur pelayaran untuk menyelesaikan kerja-kerja pengerukan di alur pelayaran tersebut.
“Sebelum ini tiada isu melibatkan kabel tersebut mengganggu alur pelayaran kerana alur pelayaran adalah lebih luas daripada 70 meter apabila berada semakin jauh daripada terminal feri,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Semalam, sebuah feri yang membawa 133 penumpang dari Kuala Kedah terkandas apabila dipercayai tersangkut pada kabel boya kapal pengerukan kira-kira 0.78 batu nautika daripada Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah.
Ahad lalu, sebuah feri dari Langkawi yang membawa 545 penumpang ke Kuala Kedah turut terkandas pada beting pasir di kedudukan sama apabila cuba mengelak kabel tersebut.
Sementara itu, Mohd. Hafiz berkata, pihak feri bebas mengambil tindakan undang-undang sekiranya ada sebarang kerugian yang terpaksa ditanggung disebabkan kerja-kerja pihak kontraktor terbabit.
Namun, pihaknya tetap akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelak insiden berkenaan berlaku kembali. –UTUSAN