Pas tiada kesepakatan dalam PN - Mahfuz - Utusan Malaysia

Pas tiada kesepakatan dalam PN – Mahfuz

MAHFUZ Omar menyampaikan sumbangan kepada penerima pada majlis di Kampung Aman, Pokok Sena hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POKOK SENA: Keputusan Pas yang berubah-ubah mengenai penggunaan logo dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) termasuk di Kedah menunjukkan parti itu tidak memiliki kesepakatan yang kuat dengan sekutu-sekutu mereka dalam Perikatan Nasional (PN). 

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, segala yang terjadi itu juga jelas menunjukkan betapa Pas tidak memiliki pendirian yang tetap dalam perjuangan mereka. 

“Mereka ini tak tetap pendirian, sekejap boleh jadi begitu dan sekejap lagi jadi begini. Tentang logo mana yang boleh menarik perhatian pengundi dan rakyat pun mereka tak ada pendirian. 

“Terpulanglah kepada mereka tetapi ini gambaran jelas yang mereka sendiri tidak ada kesepakatan dalam PN hingga perlu menggunakan lambang berbeza di negeri tertentu. 

“Tindakan menggunakan lambang ‘bulan’ di sesetengah negeri dan lambang PN di negeri yang lain menunjukkan betapa gabungan disertai Pas itu rapuh. Ini sama sekali berbeza dengan Pakatan Harapan (PH) yang hanya menggunakan satu lambang sekali gus menunjukkan kesepakatan kami,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Peringkat Parlimen Pokok Sena di Kampung Aman di sini, hari ini. 

Pada 13 Oktober lalu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan, Pas akan menggunakan logo parti tersebut di Kedah, Terengganu dan Kelantan dalam PRU15 dengan perkara tersebut sudah pun dimuktamadkan dan akan dibawa ke Majlis Pimpinan Tertinggi PN. 

Namun, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam satu majlis di Kota Bharu malam tadi memaklumkan, logo Pas hanya akan digunakan di Kelantan dan Terengganu sementara di Kedah pula, Pas akan menggunakan logo PN setelah perkara itu dipersetujui semua pihak. 

Sementara itu, Mahfuz berkata, jentera PH ketika ini sedang berusaha keras bagi memastikan kesemua 15 kerusi Parlimen dalam negeri ini menjadi milik mereka. 

“Pada PRU14, PH menang 10 kerusi Parlimen dan kali ini kami akan pastikan supaya memperoleh pertambahan kerusi. Kami bukan sekadar hendak menang sikit-sikit tetapi nak menang kesemua 15 kerusi di Kedah. 

“Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kata mereka mahu menang 10 dan itu menunjukkan yang BN tak yakin untuk menang lima lagi kerusi. Kami akan gerakkan usaha untuk menangkan calon PH di semua kerusi Parlimen,” katanya.

Ditanya kenyataan kepimpinan Pas Kedah sebelum ini mengenai kemungkinan parti itu akan meletakkan calon ‘heavyweight’ di Pokok Sena yang disandangnya sebelum ini, Mahfuz berkata beliau bersedia berdepan siapa saja jika diamanahkan PH untuk mempertahankan kerusi itu. 

“Saya tak boleh campur tangan tentang calon parti lain dan terpulang pada mereka nak bawa ‘lightweight’ atau ‘heavyweight’. Itu hak mereka dalam sebuah negara demokrasi. Kalau diberi amanah untuk bertanding, saya akan laksanakan tugas untuk pertahankan kerusi PH di Pokok Sena ini,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya